Grab kini pemilik Jaya Grocer

Grab kini pemilik Jaya Grocer

KUALA LUMPUR- Jenama e-hailing terkemuka, Grab kini adalah merupakan pemilik baharu bagi rangkaian peruncitan terkenal, Jaya Grocer Holdings Sdn Bhd.

Dalam makluman kepada Nasdaq hari ini, Grab yang berpengkalan di Singapura telah memeterai perjanjian pembelian saham (SPA) dengan pemegang saham semasa Jaya Grocer untuk membeli semua saham pemilikan biasanya dan 75 peratus saham utama syarikat Jaya Grocer.

Bagaimanapun, nilai pembelian saham itu tidak didedahkan kedua-dua pihak.

“Untuk tujuan kawal selia tempatan, Grab Holdings Ltd (GHL) berhasrat untuk bekerjasama dengan pelabur tempatan yang akan memiliki 50 peratus saham dalam Jaya Grocer.

“Penutupan di bawah SPA adalah tertakluk kepada beberapa syarat dan pada masa ini (pemilikan secara rasmi) dijangka berlaku pada suku pertama 2022.

“Selepas penutupan, Jaya Grocer dijangka menjadi anak syarikat GHL dan keputusan kewangannya akan disatukan oleh GHL,” kata Grab memetik laporan sebuah portal berita pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, ini adalah merupakan penampilan sulung Grab dalam indeks Nasdaq berikutan penggabungan AS$40 bilion dalam perjanjian syarikat pemerolehan bagi tujuan khas.

Jaya Grocer memiliki 40 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia dengan majoritinya terdapat di Lembah Klang.

Pada bulan lalu, Pengasas Jaya Grocer, Teng Yew Huat telah membeli semula keseluruhan saham Jaya Grocer dari AIGF Advisors Pte Ltd.

AIGF berkata bahawa pelaburannya dalam Jaya Grocer pada tahun 2016 adalah sebahagian daripada strategi dana untuk mengenal pasti serta melabur dalam syarikat yang berpotensi kukuh selain meningkatkan nilai perniagaan.

Sumber