Golongan ulama dan akademik perlu bekerjasama

Golongan ulama dan akademik perlu bekerjasama

SHAH ALAM- Golongan ulama yang mempunyai kelulusan ilmiah perlu bekerjasama dengan ahli-ahli akademik dan pengamal psikologi untuk melahirkan model psikologi yang Islamik dan saintifik.

Konsultan Psikologi Organisasi, Dr Azizi Alias berkata, ia bagi memastikan tidak berlaku situasi di mana ilmu psikologi sekular bercampur dengan dalil-dalil lemah dan palsu yang akan memburukkan keadaan.

Menurutnya, pada zaman sekarang, sudah ada kecenderungan untuk mengkaji kaitan spiritualiti dengan psikologi, namun malangnya ada yang belajar melalui gerakan ‘new age’ atau usia baharu yang biasanya merujuk kepada agama-agama yang tidak bersifat saintifik.

“Konsep ‘new age’ ini sudah banyak meresap dalam program-program seminar, motivasi belajar, motivasi pengurusan dan lain-lain.

“Masalah akan timbul apabila konsep ini ‘disolek’ pula dengan dalil Islam yang ditafsirkan secara bab ilmiah atau menggunakan dalil-dalil lemah dan palsu, atau mereka mendakwa ada kajian saintifik tapi disalah tafsirkan.

“Sebab itu pentingnya kerjasama antara golongan ulama, ahli akademik dan pengamal psikologi dalam melahirkan model psikologi yang Islamik dan saintifik.

“Apabila kefahaman kita kepada kejadian manusia berdasarkan tafsiran yang sahih dan dalil yang sahih serta interpretasi yang betul terhadap teori dan kajian saintifik, ia akan melahirkan generasi al-Quran yang sedar akan peranan manusia yang sebenar, sekali gus bakal memimpin tamadun zaman moden yang bukan sahaja Islamik tapi saintifik,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sesi perkongsian pada Program Jom Mengaji Sebelum Tidur: Surah Al-Sajdah yang berlangsung secara dalam talian melalui platform Zoom dan Facebook TickTalk TV, QuranHour dan Sinar Harian pada malam Rabu.

Turut serta, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan timbalannya, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Program itu dikendalikan moderator, Muhammad Iqbal Rosdi yang juga Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Sajdah yang dipimpin oleh Penyelia R&D Departmen Quran Cordoba Indonesia, Ustaz Cep Ma’mum dan Editor Kanan Penerbitan al-Quran Karya Bestari, Ustaz Amiro Safwan Mohd Kamil serta Qari TickTalkTV, Halim Zainudin manakala sesi tadabbur pula disempurnakan oleh Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail.

Program Jom Mengaji Sebelum Tidur (JMST) merupakan sebuah inisiatif awal menuju misi Surah Al-Sajdah, surah pilihan bagi 2022 dengan membawa tema #MalaysiaBersujud dan #DuniaBersujud.


Sumber