Gerakan wakaf al-Quran fasa dua

Gerakan wakaf al-Quran fasa dua

SHAH ALAM – Sebanyak 40,000 naskhah al-Quran disasarkan untuk pelaksanaan program wakaf al-Quran fasa dua yang digerakkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Kumpulan Karangkraf bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, wakaf al-Quran fasa dua akan diagihkan bagi mengaktifkan #QuranCorner yang diperluas ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), kem tentera dan lokasi terpilih seluruh negara.

Menurutnya, bagi fasa sebelumnya, sebanyak 35,251 naskhah al-Quran Mu’Jam berjaya diagihkan ke hospital, pusat kesihatan dan pusat kuarantin di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Sehingga jam 2.30 petang hari ini, sebanyak 35,251 naskhah al-Quran Mu’Jam berharga RM45 senaskhah diwakafkan dalam misi mengQurankan bangsa dan mengIkhlaskan ummah. Dengan ini Wakaf Al-Quran Mu’Jam ditutup secara rasmi mulai jam 2.30 petang.

“Mulai jam 2.31 petang hari ini kita dengan rasminya memulakan fasa dua program wakaf ummah kita dengan al-Quran Al-Haramain atau al-Quran Multazam Bil Hadis pada harga RM40 senaskhah.

“Ini bermakna, semua wang yang diterima selepas masa tersebut akan dikira sebagai wakaf al-Quran fasa dua,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Terdahulu, IPK Selangor menerima sebanyak 500 naskhah infak al-Quran menerusi inisiatif #QuranCorner fasa dua.

Pengurus Besar Book2U, Raja Shahfaizal Khairudin (kiri) menyampaikan sumbangan al-Quran kepada Sub Inspektor Halim Malik (tiga dari kanan) yang mewakili IPD Klang Selatan. - FOTO ROSLI TALIB

Pengurus Besar Book2U, Raja Shahfaizal Khairudin (kiri) menyampaikan sumbangan al-Quran kepada Sub Inspektor Halim Malik (tiga dari kanan) yang mewakili IPD Klang Selatan. – FOTO ROSLI TALIB

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed mewakili IPK Selangor dan 16 IPD di negeri berkenaan menerima 500 naskhah infak al-Quran yang disampaikan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin mewakili WUIF.

Hadir sama, Ketua Jabatan Pengurusan IPK Selangor, Datuk Sulaiman Salleh dan Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang dan Pengurus Besar Book2U Sdn Bhd, RJ Shahfaizal Khairudin.

Arjunaidi ketika ditemui berkata, pihaknya berterima kasih kepada penyumbang yang mewakaf serta menginfakkan al-Quran yang akan digunakan sebaik mungkin bagi memberi semangat dan memotivasikan anggota dan pegawai di barisan hadapan.

Menurutnya, ancaman wabak koronavirus (Covid-19) bukan sahaja berlaku di Malaysia malah di seluruh dunia dan menerusi pembacaan dan penghayatan al-Quran, ia dapat dijadikan sebagai ikhtiar dan penyerahan diri kepada ALLAH.

“Kepada semua anggota dan pegawai PDRM dan juga Angkatan Tentera Malaysia yang sedang bertugas di barisan hadapan, diharap dapat menjalankan tugas dengan penuh semangat, penuh integriti sekali gus dapat menyelamatkan negara,” katanya.

Dalam masa sama, Arjunaidi menasihati masyarakat di setiap peringkat untuk memberikan kerjasama bukan hanya kepada mereka yang bertugas di barisan hadapan tetapi kepada setiap arahan dikeluarkan pihak kerajaan dari masa ke masa.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *