Gema surah Ar-Rahman di Institut Kanser Negara

Gema surah Ar-Rahman di Institut Kanser Negara

PUTRAJAYA – Institut Kanser Negara (IKN) di sini hari ini bergema dengan bacaan surah Ar-Rahman yang dipasang melalui sistem siar raya sempena program World #QuranHour 1441H: Reboot Global Harmony yang berlangsung serentak seluruh dunia.

Ketua Unit Hal Ehwal Islam IKN, Madya Madon berkata, selain bacaan surah melalui siar raya, seramai 500 kakitangan pelbagai jawatan di institut itu mengambil bahagian dalam membaca ayat suci al-Quran tersebut.

“Boleh dikatakan hari ini semua pihak yang berada di IKN terlibat secara langsung dengan World #QuranHour ini apabila kita pasang bacaan surah Ar-Rahman yang melalui sistem siar raya.

“Selepas sahaja selesai bacaan ayat suci al-Quran ini program kita diteruskan dengan tadabur bagi memberi lebih lagi kefahaman tentang surah itu,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Menurut Madya, selaras dengan IKN yang berkonsepkan hospital mesra ibadah, aktiviti keagamaan termasuk bacaan al-Quran sememangnya menjadi amalan warga kerja di institut tersebut.

“Setiap Khamis malam Jumaat, kita pasang surah Yassin melalui siar raya. Jumaat pula kita akan pasang surah Al-Kahfi sehingga masuk waktu azan,” katanya.

Mengulas mengenai penyertaan kakitangan IKN dalam program World #QuranHour, Madya berkata, tahun ini jumlah peserta bertambah berbanding sebelumnya.

“Tahun ini merupakan tahun kedua IKN terlibat secara langsung dengan program ini dan pengurusan tertinggi kita juga sangat menyokong serta menggalakkan kami terlibat dalam aktiviti ini.

“Selain itu, saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Karangkraf yang menyumbang al-Quran sebanyak dua kali kepada kami di sini,” katanya.



Sumber