Gajet cabaran besar ibu bapa, majikan

Gajet cabaran besar ibu bapa, majikan

SHAH ALAM- Gajet merupakan satu cabaran besar yang perlu dihadapi oleh ibu bapa dan majikan bagi mengawal anak-anak serta pekerja.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris memberitahu, remaja pada ketika ini lebih tertarik dan banyak meluangkan masa mereka bersama gajet berbanding menghabiskan masa dengan keluarga mahupun kerja.

“Satu perkara yang membezakan remaja pada hari ini ialah gajet. Ia telah membolosi kehidupan mereka. Kita semua kena bersaing dengan gajet.

“Sekarang ini mereka telah serap gajet ini sebagai sebahagian kehidupan mereka. Sepatutnya masa diluangkan untuk ibu bapa, mereka boleh habiskan dengan gajet sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi panelis pada program Better Family Better Nation Road to Malaysia #QuranHour yang disiarkan dalam talian pada Rabu.

Antara panelis terlibat adalah Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf dan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail manakala Zaim Zamri bertindak sebagai moderator.

Tambah Namanzee, gajet semakin menjadi pencabar apabila teknologi Artifical Intelligence (AI) diwujudkan.

Jelasnya, teknologi itu mampu membaca fikiran dan membuatkan anak-anak serta pekerja lebih leka membazirkan masa dengan gajet mereka.

“Untuk bersaing, sebenarnya kita kena bersaing dengan kebijaksanaan AI ini. Kita mampu melawan sebab yang ciptanya adalah manusia sendiri,” ujarnya.

Sehubungan itu, menjadikan seseorang itu bernilai atau berkelakuan baik, keluarga perlu memainkan peranan penting dalam membentuknya.

“Peranan gajet atau media adalah sebagai satu bentuk nilai semasa perkhidmatan. Media main peranan berikan kempen dan sebagainya. Namun, keluarga merupakan asas yang paling utama,” katanya.

Sumber