Gabungan Padu Elizabeth Tan Feat. Zynakal Dalam ‘NARSIS’

Gabungan Padu Elizabeth Tan Feat. Zynakal Dalam ‘NARSIS’

Buat pertama kalinya kolaborasi diantara seorang penyanyi wanita popular tanah air iaitu Elizabeth Tan dan Zynakal selaku penyanyi rap dapat dilihat menerusi sebuah lagu berjudul ‘Narsis’ beritma pop dansa ala Korea terbitan label berpengaruh negara, Warner Music Malaysia.

Untuk memenuhi permintaan dan selera pendengar pada masa kini yang pelbagai, Warner Music Malaysia telah melahirkan idea bernas dengan menggabungkan mereka berdua memandangkan Elizabeth Tan dan Zynakal merupakan artis di bawah label yang sama serta mahukan duo baharu serta konsep yang segar.

Menurut Elizabeth Tan “Setelah mendengar demo yang diberikan oleh pihak MFMF, saya rasa ‘sesuatu’ yang kurang, jadi Raqeem Brian selaku Pengarah A&R Pemasaran Domestik yang mencadangkan agar dimasukkan rangkap rap yang dinyanyikan dan ditulis sendiri oleh Zynakal, maka terhasilnya Narsis”.

Selain itu, lagu pop rancak yang berdurasi selama 2:21 minit ini menceritakan mengenai perihal manusia bersifat narsistik yang sememangnya wujud di kalangan masyarakat kita sejak dahulu lagi.  Tempoh masa selama seminggu diambil untuk proses pengubahsuaian dan suntingan ‘Narsis’ manakala proses rakaman hanya memakan beberapa jam sahaja.

Pelantun ‘Knock Knock’ berkata “Saya berharap agar peminat semua sukakan Narsis sebagaimana lagu-lagu saya terdahulu walaupun pendek namun mesejnya terpampang jelas.  Terima kasih di atas sokongan anda selama ini, saya sayangkan kamu semua dan jangan lupa untuk menonton MV-nya nanti”.

“Semoga peminat semua mengerti apa yang kami cuba sampaikan menerusi lagu ini, nikmati rentak khas dari kami, ulangi dan kongsinya pada semua ujar” ujar Zynakal sendiri.

Lagu ‘Narsis’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.  Video muzik ‘Narsis’ dimuatnaik serentak di laman platform YouTube dengan konsep yang artistik dan punyai jalan cerita yang menarik boleh ditonton secara eksklusif pada tarikh yang sama hanya di saluran YouTube Warner Music Malaysia.