FAMA anjur jualan sambut Ramadan

FAMA anjur jualan sambut Ramadan

KUALA PILAH – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengadakan Program MyRakyat dan Pasar Tani Semarak Ramadan di lokasi terpilih di Negeri Sembilan pada Sabtu.

Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, ia bagi memberi peluang dan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan bagi menyambut Ramadan.

“Program Pasar Tani Semarak Ramadan Negeri Sembilan dilaksanakan di tujuh lokasi pasar tani terpilih manakala Program MyRakyat Semarak Ramadan diadakan di empat lokasi seluruh Negeri Sembilan.

“Seramai 50 orang peserta telah terlibat dengan menawarkan pelbagai jenis jualan persiapan Ramadan bagi pengunjung yang hadir seperti ayam, daging, ikan, sayur-sayuran, buah-buahan dan lain-lain lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Program MyRakyat dan Pasar Tani Khas Semarak Ramadan peringkat Negeri Sembilan di Pasar Tani Kuala Pilah pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Fama Negeri Sembilan, Asmizal Jaafar.

Antara pengisian program itu adalah edaran dodol kepada pengunjung, jualan ‘happy hour’ Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) bagi produk sayur-sayuran, pertandingan pipil jagung, demonstrasi masakan mi kari menggunakan Kari Putih Agromas serta uji rasa mangga sala bersama kuah rojak keluaran Agromas.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Bakri berkata, nilai jualan pasar tani di seluruh Negeri Sembilan pada tahun 2021 adalah sebanyak RM13.9 juta dan sehingga 31 Mac tahun ini telah mencatat rekod jualan RM4.9 juta melibatkan 448 bilangan usahawan di 17 lokasi pasar tani Negeri Sembilan.

“Manakala bagi Program MyRakyat pula, Fama Negeri Sembilan telah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM187,000 pada tahun 2021 dan RM76,000 nilai jualan direkodkan pada tahun 2022 iaitu sehingga 31 Mac lepas,” katanya.

Sumber