Lagu terbaharu berjudul “Esok” menjadi detik istimewa dalam perjalanan seni pasangan kembar Fahimi dan Firdaus Rahmat. Selepas lama bergerak secara solo, akhirnya mereka merealisasikan impian untuk tampil bersama dalam sebuah kolaborasi yang cukup dinantikan. Duet ini menandakan pertama kali suara kembar ini digabungkan dalam satu karya penuh makna.
Firdaus menyifatkan “Esok” sebagai sebuah lagu yang amat peribadi dan dekat di hati mereka. “Kolaborasi ini sudah lama kami impikan sejak mula melibatkan diri dalam industri muzik. Kami hanya menunggu masa yang sesuai dan lagu yang tepat. ‘Esok’ adalah hadiah ikhlas daripada kami buat semua pendengar,” jelasnya.

Bagi Fahimi pula, makna di sebalik “Esok” lebih mendalam kerana ia mengangkat persoalan kehidupan. “Esok pasti tiba, tetapi adakah kita pasti akan berada di sana? Lagu ini bukan sekadar hiburan, ia adalah renungan tentang masa depan dan kelangsungan hidup,” katanya.
Uniknya, proses rakaman “Esok” dilakukan sepenuhnya oleh mereka berdua tanpa campur tangan produser luar. Menurut Firdaus, rakaman vokal hanya memakan masa sekitar dua jam di studio Faithful Music. Mereka juga bergilir-gilir menjadi produser bagi setiap bahagian vokal, menjadikan pengalaman ini lebih peribadi dan penuh kenangan.

Kolaborasi ini turut memperlihatkan gabungan dua gaya muzik yang berbeza tetapi saling melengkapi. Fahimi mengakui cabaran utama adalah menyesuaikan dua genre berbeza dalam satu karya, namun akhirnya pertembungan itu menghasilkan harmoni yang unik.
Dengan alunan pop versatile dan dua suara yang hampir serupa, “Esok” hadir bukan sahaja sebagai karya yang mengangkat keunikan vokal Fahimi dan Firdaus, tetapi juga sebagai sumbangan berharga untuk menambah warna dalam landskap muzik tempatan.

Firdaus turut menyampaikan penghargaan kepada para pendengar. “Terima kasih kepada semua yang terus menyokong karya kami dan muzik pop semasa. Sokongan anda menjadikan lagu ‘Esok’ lebih bermakna,” katanya lagi.
Kini, “Esok” boleh dinikmati di semua platform digital. Lagu ini juga menjadi runut bunyi (OST) kepada Tonton Original – Me.N.U yang dibintangi Nabila Razali dan Andi Bernadee. Video visual rasmi “Esok” telah dilancarkan di saluran YouTube Fahimi. Kolaborasi ini diterbitkan bersama Faithful Music dan Alternate Records Sdn Bhd serta diedarkan oleh Universal Music Malaysia.