Ekonomi Malaysia tumbuh sederhana 4.3 peratus tahun ini

Ekonomi Malaysia tumbuh sederhana 4.3 peratus tahun ini

EKONOMI Malaysia diunjurkan berkembang pada kadar yang lebih sederhana sebanyak 4.3 peratus pada 2023 disokong oleh permintaan dalam negeri di tengah-tengah jangkaan kelembapan dalam permintaan luar manakala pertumbuhan penggunaan swasta dijangka kekal kukuh, walaupun pada kadar yang lebih perlahan pada 6.3 peratus pada 2023 berbanding 11.3 peratus pada 2022, kata Kumpulan Bank Dunia.

Bank Dunia berkata, pertumbuhan ekonomi disokong oleh peningkatan dalam keadaan pasaran buruh serta langkah sokongan pendapatan berterusan daripada kerajaan, dengan pelaburan diunjurkan meningkat sebanyak 4.4 peratus pada 2023 berbanding 6.8 peratus pada 2022, mencerminkan aliran berterusan pelaburan modal dalam sektor swasta dan awam.

“Sementara itu, inflasi diunjurkan menjadi sederhana kepada antara 2.5 peratus dan 3.0 peratus pada 2023 (2022: 3.3 peratus) memandangkan kekangan bekalan global berkurangan dan harga komoditi yang stabil.

“Sebagai ekonomi yang sangat terbuka, Malaysia akan terus menghadapi risiko besar yang tercetus daripada persekitaran luaran. Ini termasuk keadaan kewangan global yang lebih ketat, kelembapan yang lebih mendalam dalam ekonomi utama dan pencerobohan Rusia yang berpanjangan ke atas Ukraine, yang boleh menyebabkan kelembapan pertumbuhan global yang lebih teruk daripada jangkaan,” kata kumpulan itu dalam Analisis Tinjauan Kemiskinan Makro mengikut Negara dan Unjuran untuk Dunia Membangun hari ini.

Bank Dunia juga menghuraikan bahawa dari segi domestik, sumber utama risiko penurunan adalah berkaitan dengan ketidaktentuan dalam inflasi dan paras hutang yang agak tinggi, yang boleh membebankan permintaan dalam negeri.

“Melangkah ke hadapan, isi rumah miskin dan kurang berkemampuan yang paling terjejas oleh pandemik mungkin mengambil masa lebih lama untuk pulih, memerlukan semula program perlindungan sosial yang berkesan dan bersasar. Oleh itu, rancangan kerajaan untuk mengemas kini pendapatan garis kemiskinan dan indeks kemiskinan pelbagai dimensi adalah tepat pada masanya dan penting untuk memastikan langkah-langkah itu sepadan dengan taraf hidup semasa Malaysia,” katanya.

Bank Dunia juga menekankan bahawa cabaran yang dihadapi oleh Malaysia termasuk ruang fiskal yang semakin sempit, kerana perbelanjaan tegar dalam gaji, pencen dan pembayaran faedah terus meningkat dan pada masa yang sama, hasil negara kekal dalam arah aliran menurun.

“Kerajaan membentangkan semula belanjawan yang disemak pada Februari 2023 selepas pentadbiran baharu mengambil alih berikutan pilihan raya umum. Dalam ucapan belanjawan, kerajaan baharu telah menyatakan bahawa ia menjangkakan defisit fiskal menurun kepada 5.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar daripada 5.6 peratus pada 2022.

“Kerajaan juga menyatakan bahawa ia merancang untuk membentangkan Akta Tanggungjawab Fiskal tahun ini. Walaupun tekanan inflasi keseluruhan kekal terkawal pada 3.3 peratus pada 2022 (2021: 2.5 peratus), harga makanan dan tenaga yang lebih tinggi telah menyumbang kepada peningkatan kebimbangan terhadap kos sara hidup yang lebih tinggi dan kekurangan makanan, terutamanya dalam isi rumah yang kurang berkemampuan.

Memetik anggaran daripada Organisasi Makanan dan Pertanian, kejadian kekurangan makanan yang teruk telah meningkat di Malaysia sejak 2016 dan antara 2019 dan 2021, kelaziman kekurangan makanan yang sederhana atau teruk ialah 15.4 peratus, bersamaan dengan lima juta orang. – Bernama

Sumber