Ekelas Usahawan Maxis berjaya latih lebih 1,000 usahawan

Ekelas Usahawan Maxis berjaya latih lebih 1,000 usahawan

SHAH ALAM – eKelas Usahawan Maxis berjaya melatih lebih daripada 1,000 usahawan untuk membangunkan kehadiran digital yang lebih kukuh, selepas setahun pelancarannya.

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Mariam Bevi Batcha berkata, ekelas Usahawan, program jangkauan komuniti Maxis, disasarkan kepada usahawan wanita terutamanya daripada komuniti B40 untuk melengkapkan mereka dengan alatan dan kemahairan digital untuk membantu mereka dalam perniagaan.

Menurutnya, kemahiran digital amat penting bagi semua aspek masyarakat dan memainkan peranan sebagai pemacu inklusif sosial.

“Program itu terdiri daripada beberapa siri bengkel digital dengan pendekatan praktikal untuk melengkapkan usahawan dengan modul seperti kemahiran asas pemasaran, fotografi digital, penulisan dan perancangan kempen pemasaran dan pengiklanan dalam talian dan media sosial.

“Kami berbesar hati melihat program ini mendapat sambutan sejak pelancarannya tahun lepas dan memberi manfaat kepada ramai usahawan wanita. Kami telah melihat secara langsung bagaimana mereka menggunakan kelebihan kemahiran pemasaran digital asas untuk perniagaan mereka.

“Inilah maksud eKelas Usahawan, dan kami berharap lebih ramai wanita di seluruh negara mendaftar untuk tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, bengkel eKelas Usahawan diadakan secara maya melalui webinar awam bersama rakan latihan Maxis dan sokongan daripada sukarelawan Maxis sendiri, mSquad jika diperlukan.

“Maxis juga telah bekerjasama dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi Negeri termasuk PACOS Trust Sabah, Yayasan Hijrah Selangor, Yayasan Kebajikan Negara, dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar, yang telah menyokong program ini dengan urusan logistik serta mengenal pasti peserta untuk sesi khusus,” katanya.

Peserta yang berminat sama ada usahawan sedia ada atau bakal usahawan amat digalakkan untuk mendaftar secara percuma di https://www.maxis.com.my/en/about-maxis/corporate- responsibility/.

Maxis juga sedang berbincang dengan rakan kongsi lain menarik lebih ramai usahawan terutamanya wanita untuk menyertai dan memanfaatkan program tersebut.

Sementara itu, salah seorang peserta yang juga Pengasas DokiDoki Okonomi, Rosila Mohd Rosidi berkata, bengkel itu membantu peserta memperoleh pemahaman yang lebih baik tentang fungsi dan petua pemasaran pada pada platform dalam talian.

“Matlamat yang ditetapkan semasa program juga mengajar dan mendorong kami untuk memantau prestasi dengan berkesan dari semasa ke semasa. Saya amat mengesyorkan pemilik perniagaan kecil di seluruh negara untuk menyertai eKelas Usahawan,” katanya.

Bagi Pengarah Zahin Travel, Fazila Ismail pula berpendapat, program itu mengajarnya asas pemasaran digital yang penting untuk perniagaan beroperasi semasa wabak pandemik.

“Saya mendapat banyak pengetahuan dan rakan baharu. Terima kasih, Maxis dan semua yang terlibat kerana membantu usahawan,” katanya.

Peserta lain, Nur Azmaliza Abdul Rahmat berkata, pengajaran dan pembelajaran melalui bengkel eKelas sangat mudah difahami dan relevan dengan situasi semasa kita yang menggalakkan pendigitalan.

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber