ECERDC yakin raih pelaburan RM1.8 bilion di Kelantan

ECERDC yakin raih pelaburan RM1.8 bilion di Kelantan

MAJLIS Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) optimis dapat mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM1.8 bilion di Kelantan pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Baidzawi Che Mat berkata, sasaran itu juga dijangka dapat mewujudkan lebih 1,200 pekerjaan baharu selain lebih daripada 300 peluang keusahawanan.

Menurutnya, ECERDC yakin sasaran itu dapat dicapai berikutan terdapat pakej insentif cukai khas Kelantan yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

“Sehingga 31 Mac lalu, ECERDC telah menarik pelaburan komited berjumlah RM990 juta ke Kelantan.

“Di bawah Insentif Khas Kelantan, pelabur yang layak akan menikmati 100 peratus pengecualian cukai pendapatan selama 15 tahun dengan lanjutan lima tahun lagi pada kadar istimewa 17 peratus.

“Bagi pekerja bukan warganegara yang memegang jawatan pengurusan kanan, mereka akan hanya dikenakan kadar cukai rata sebanyak 15 peratus sebagai insentif tambahan untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Baidzawi, ECERDC di bawah pelan transformasi Tok Bali, akan turut memanjangkan serta menaik taraf jeti pendaratan ikan sedia ada bagi membolehkan kapal moden berlabuh bersama bot nelayan tradisional.

Ini sekali gus akan meningkatkan lagi pertumbuhan aktiviti hiliran di kawasan berkenaan dengan aktiviti seperti pemprosesan ikan, ikan beku dan ‘otoshimi’ atau isi ikan.

“Di bawah program Pembangunan Modal Insan, ECERDC turut menyasarkan untuk melatih seramai 2,000 pelajar di 50 buah sekolah menerusi Program Latihan Akademik Empower ECER manakala program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Empower ECER pula akan melatih seramai 627 peserta di Kelantan dengan sokongan Yayasan Petronas,” katanya.

Baidzawi berkata ECERDC juga kekal teguh menyokong Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (PENJANA) melalui program PENJANA-ECERDC bagi meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja ECER yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Sehingga kini, seramai 1,029 peserta telah dilatih di Kelantan dan 87 peratus daripadanya telah mendapat kerja dengan purata pendapatan sebanyak RM2,300 sebulan,” katanya. – Bernama

Sumber