Dutch Lady sumbang 2,000 pek susu

Dutch Lady sumbang 2,000 pek susu

PUTRAJAYA – Syarikat Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) menyumbangkan sebanyak 2,000 pek susu kepada 1,000 orang kanak-kanak daripada 43 buah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh Putrajaya.

Program sumbangan tersebut merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dalam membantu meringankan beban ibu bapa yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun berkata, kerajaan menyambut baik sumbangan diberikan oleh Dutch Lady khususnya tajaan susu kepada anak-anak.

Beliau berkata, ia selaras dengan usaha kerajaan memerangi masalah kebantutan dalam kalangan kanak-kanak.

Menurutnya, dengan program sebegitu dapat membantu kerajaan khususnya anak-anak Tabika dan Taska Kemas mendapat minuman berkhasiat.

“Program ini juga memenuhi sebahagian daripada polisi Dasar Pemakanan Kebangsaan 2.0 untuk mengatasi ketidakseimbangan pemakanan dalam kalangan kanak-kanak.

“Semoga program seperti ini dapat diteruskan pihak Dutch Lady bersama Kemas bagi memastikan kerjasama pintar ini akan memberi manfaat kepada kanak-kanak untuk mendapat makanan seimbang dan betul.

“Program ini bolehlah dilebarkan ke kawasan luar bandar, khususnya di daerah Kuala Lipis dan Daerah Padang Terap,” katanya semasa ucapan sempena ‘Flag Off Program Sumbangan Produk Susu Dutch Lady Milk Industries Berhad’ di lobi utama Kementerian Pembangunan Luar Bandar di sini pada Khamis.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran DLMI, Zatur Hassim berkata, kerjasama dan sumbangan minuman susu adalah sejajar dengan tujuan murni syarikat untuk ‘Mengkhasiatkan Nusa dan Bangsa’.

Jelasnya, ia menjadi iltizam kepada DLMI dalam menyokong meningkatkan penggunaan susu di negara bagi menangani penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin membimbangkan terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Ramlan memegang bendera Kemas ketika Flag Off Program Sumbangan Produk Susu Dutch Lady Milk Industries Berhad di lobi utama Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Putrajaya pada Khamis.

Ramlan memegang bendera Kemas ketika Flag Off Program Sumbangan Produk Susu Dutch Lady Milk Industries Berhad di lobi utama Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Putrajaya pada Khamis.

“Laporan menunjukkan trend peningkatan bagi indikator seperti kurang berat badan, obesiti dan bantut dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun.

“Trend ini dikhuatiri menjadi lebih meruncing akibat wabak Covid-19 yang memberi kesan ekonomi dan kesihatan kepada masyarakat secara amnya, dan khususnya kepada ibu bapa yang sedang membesarkan keluarga.

“Oleh demikian, salah satu usaha murni di bawah Kerjasama Bistari DLMI-Kemas pada tahun ini ialah sumbangan produk susu tepung rumusan empat, lima dan enam untuk kanak-kanak Tabika dan Taska Kemas di seluruh Putrajaya,” ujarnya.

Tambahnya, setiap kanak-kanak menerima dua unit susu tepung rumusan Dutch Lady 900 gram.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, sumbangan tersebut seiring Dasar Pemakanan Kebangsaan 2.0 yang menekankan diet seimbang dalam kalangan kanak-kanak khususnya di usia empat hingga enam tahun.

“Saya berbesar hati agar kerjasama bersepadu ini dapat diterjemahkan dalam bentuk Memorandum Persefahaman (MoU) untuk jaringan strategik jangka panjang yang mampan demi keutuhan generasi mendatang.

“Semoga adanya MoU ini dapat memberi nilai tambah lebih progresif sejajar Aspirasi Keluarga Malaysia,” ujarnya.

Tambah beliau, DLMI turut bercadang memberi tawaran harga istimewa berbanding harga di pasaran mengenai produk susu Dutch Lady kepada pihak Tabika dan Taska Kemas.

Katanya, ia menerusi kaedah promo kod yang boleh diperoleh menerusi laman jualan secara dalam talian di Shopee selain aktiviti-aktiviti yang mempunyai faedah bersama pada masa akan datang,” katanya.

Sumber