Dulu ‘Hari Bujang’ kini jadi pesta beli-belah

Dulu ‘Hari Bujang’ kini jadi pesta beli-belah

CHINA – Siapa sangka niat sekumpulan pelajar universiti memilih tarikh 11 November yang pada asalnya untuk meraikan status mereka sebagai bujang pada 1993, kini bertukar kepada acara runcit terbesar disambut di seluruh dunia.

Dikenali juga dengan nama Guanggun Jie atau bermaksud Hari Bujang, pada awalnya ia diraikan di China untuk menghiburkan hati anak-anak muda yang tidak mempunyai kekasih.

Tarikh 11.11 dipilih kerana angka ‘1’ diibaratkan sebagai individu bersendirian yang hanya diraikan kaum lelaki di China yang kemudiannya disambut kaum wanita.

Beberapa universiti tempatan di China juga turut mempunyai sambutan khas untuk meraikan tarikh 11.11 ini, lapor In The Black memetik sumber.

Bagaimanapun, tarikh tersebut mula bertukar arah apabila Alibaba mengambil pendekatan untuk mempromosikan tarikh tersebut sebagai hari runcit sedunia.

Syarikat e-dagang dari China itu telah menjana jualan kira-kira AS$7.8 bilion (RM32 bilion) melalui Festival Membeli-Belah Global yang diperkenalkan oleh mereka pada tarikh tersebut yang menggunakan tema ‘Jika anda tidak boleh dengan seseorang yang anda suka, anda sekurang-kurangnya boleh dengan sesuatu yang anda suka’.

Tarikh 11 November 2017 telah membuatkan syarikat Alibaba berjaya melonjakkan jualan sehingga AU$34 bilion dalam tempoh 24 jam lebih untung berbanding peruncit di Australia yang berjaya meraih AU$26.3 bilion.

Sementara itu, senario berbeza di beberapa negara seperti Korea apabila tarikh 11.11 dikenali sebagai Pepero Day iaitu hari bertukar-tukar stik pepero yang dihiasi dengan patung beruang atau bunga, dengan harapan mereka akan tinggi dan kurus seperti angka 1.

Manakala di Belgium, ia adalah hari memperingati Perang Dunia 1, sementara di Indonesia pula adalah Hari Belanja Online Nasional.

Di India pula, ia dikenali sebagai Hari Pendidikan Nasional untuk memperingati ulang tahun kelahiran Maulana Abul Kalam Azad, Menteri Pendidikan pertama India yang berkhidmat dari 15 Ogos 1947 hingga 2 Februari 1958.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *