Dagangan di Bursa Malaysia susut pada tengah hari

Dagangan di Bursa Malaysia susut pada tengah hari

DAGANGAN di Bursa Malaysia susut pada sesi urus niaga tengah hari ini berikutan tekanan jualan di keseluruhan pasaran.

Pada 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 7.50 mata kepada 1,487.36 daripada 1,494.86 ketika ditutup petang urus niaga Isnin.

Indeks utama yang dibuka 1.97 mata lebih rendah pada 1,492.89, berlegar antara 1,485.83 dan 1,492.89 di sepanjang sesi pagi hingga tengah hari.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung 497 berbalas 250 manakala 361 kaunter tidak berubah, 1,196 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.47 bilion unit bernilai RM784.13 juta.

Seorang peniaga berkata bursa tempatan dibuka rendah pagi ini kerana kegiatan pengambilan untung selepas pulih daripada kerugian semalam dan kekal dalam zon negatif sepanjang sesi pagi.

Prestasi ini juga seiring dengan bursa serantau yang lain, menyaksikan pasaran-pasaran Asia mengambil petunjuk daripada prestasi lemah semalaman di Wall Street di tengah-tengah kebimbangan penularan meluas varian Omicron Covid-19.

Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun susut 0.95 peratus kepada 28,369.71, Indeks Hang Seng Hong Kong turun 1.26 peratus kepada 23,653.16 dan Kospi Korea Selatan lebih rendah 0.76 peratus kepada 2,978.72 tetapi Straits Times Singapura mengukuh 0.12 peratus kepada 3,123.68.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun tujuh sen kepada RM8.11, IHH Healthcare susut empat sen kepada RM6.52 dan CIMB kerugian enam sen kepada dan RM5.18.

Public Bank menokok dua sen kepada RM4.02 dan Petronas Chemicals naik lima sen kepada RM8.60.

Bagi saham aktif, AT Systematization, Permaju Industries, Macpie dan BCM Alliance semuanya susut setengah sen, masing-masing kepada empat sen, 4.5 sen, 3.5 sen dan dua sen, manakala KPower meningkat 10.5 sen kepada 51.5 sen dan warannya meraih enam sen kepada 15 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas lebih rendah 50.13 mata menjadi 10,839.16, Indeks FBMT 100 turun 48.14 mata kepada 10,536.50, dan Indeks FBM Emas Syariah menguncup 57.64 mata kepada 11,667.68.

FBM 70 susut 44.07 mata kepada 13,955.85 dan FBM ACE berkurangan 16.49 mata kepada 6,214.59.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.71 mata kepada 193.99, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 74.86 mata kepada 15,146.67, dan Indeks Perladangan menguncup 69.83 mata kepada 6,459.26. – Bernama

Sumber