Dagangan di Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini

Dagangan di Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini

KUALA LUMPUR – Dagangan di Bursa Malaysia menyusut sedikit pada sesi permulaan urus niaga pagi Jumaat, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street selepas sentimen terjejas oleh kegagalan rundingan gencatan senjata antara Rusia dan Ukraine, kata seorang peniaga.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 6.65 mata kepada 1,573.88 berbanding 1,580.53 pada penutupan Khamis.

Indeks utama dibuka rendah 5.39 mata pada 1,575.14.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 198 berbalas 108, manakala 173 kaunter tidak berubah, 1,823 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 89.42 juta unit bernilai RM65.39 juta.

Menurut Naib Presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, Purata Perindustrian Dow Jones (Purata DJI) kehilangan 112 mata manakala Nasdaq merosot sebanyak 125 mata.

“Dengan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) bermula minggu depan, hasil 10 tahun Amerika Syarikat meningkat lebih tinggi kepada hampir 2.0 peratus,” katanya kepada Bernama.

Di pasaran tempatan, beliau berkata, sentimen pelabur mungkin kekal berhati-hati dalam keadaan turun naik pasaran yang semakin ketara, justeru, ia menjangkakan FBM KLCI akan berada dalam aliran julat antara 1,570-1,590 hari ini.

Sementara itu, beliau menambah, minyak sawit mentah terus meningkat melepasi paras RM7,700 sementara minyak mentah Brent susut di bawah paras US$110 setong.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank lemah tiga sen kepada RM4.41, Press Metal susut 13 sen kepada RM6.42, Hong Leong Bank turun 18 sen kepada RM19.98, dan Dialog Group kerugian empat sen kepada RM2.17.

Bagaimanapun, Petronas Chemicals menokok tujuh sen kepada RM9.69.

Bagi saham aktif, Hibiscus Petroleum turun empat sen kepada RM1.16, Capital A susut tiga sen kepada 63 sen, Dagang NeXchange menguncup lima sen kepada 99.5 sen, manakala SMTrack menambah setengah sen kepada 10.5 sen dan Pertama Digital kekal pada 82.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 39.49 mata kepada 11,128.49, Indeks FBMT 100 turun 39.28 mata kepada 10,836.20, dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 30.48 mata kepada 11,765.86.

Indeks FBM 70 pula jatuh 18.45 mata kepada 13,006.67 dan FBM ACE susut sebanyak 6.50 mata kepada 5,227.55.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.98 mata kepada 203.61, Indeks Perkhidmatan Kewangan lebih rendah 69.81 mata kepada 16,276.57, manakala Indeks Perladangan meningkat 8.01 mata kepada 8,526.89. – Bernama

Sumber