Dagangan Bursa Malaysia akhiri sesi urus niaga pagi lebih rendah

Dagangan Bursa Malaysia akhiri sesi urus niaga pagi lebih rendah

DAGANGAN di Bursa Malaysia mencatatkan dagangan yang rendah pada sesi penutupan tengah hari, mengambil petunjuk daripada prestasi lemah semalaman Wall Street dengan para pelabur memberi tumpuan kepada keputusan mesyuarat bank-bank pusat utama minggu ini selain masih bimbang terhadap penularan varian Omicron.

Pada jam 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.79 mata kepada 1,478.13 berbanding 1,480.92 ketika ditutup pada urus niaga Selasa.

Pada pembukaan urus niaga pagi ini, indeks utama meningkat 0.93 mata kepada 1,481.85, bergerak antara paras 1,476.47 dan 1,484.63 di sepanjang sesi urus niaga pagi.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung 405 berbalas 291 sementara 419 kaunter tidak berubah, 1,202 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 1.30 bilion unit bernilai RM724.25 juta.

Seorang peniaga berkata, bursa tempatan dibuka lebih tinggi berikutan aktiviti memburu/membeli saham berharga rendah selepas mengalami penjualan ketara semalam, namun, ia berubah menjadi lemah sehingga dagangan berhenti rehat pada tengah hari.

“Penjualan membabitkan saham wajaran tinggi diterajui oleh saham telekomunikasi menjejaskan indeks utama,” katanya.

Pasaran Asia turut mempamerkan prestasi bercampur-campur pada Rabu, di tengah-tengah sentimen berhati-hati apabila pelabur menimbangkan kesan varian Omicron terhadap pemulihan ekonomi global sementara menantikan pengumuman Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai kadar faedah untuk hala tuju pasaran.

Bank pusat AS mengadakan mesyuaratnya pada 14 hingga 15 Disember.

Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun menambah 0.05 peratus kepada 28,446.59, Indeks Hang Seng Hong Kong naik 0.21 peratus kepada 23,684.94 sementara Kospi Korea Selatan turun 0.27 peratus kepada 2,979.80 dan Straits Times Singapura susut 0.36 peratus kepada 3,109.98.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals lega satu sen kepada RM8.60, Tenaga bertambah dua sen kepada RM9.25 manakala Maybank, Public Bank and IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM8.09, RM4.00 dan RM6.50.

Bagi saham aktif, ATA IMS menokok enam sen kepada 61 sen, Pelikan naik satu sen kepada 55.5 sen, dan Pasukhas susut setengah sen kepada tiga sen sementara BCM Alliance dan Pemaju Industries masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen dan empat sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas lega 2.88 mata menjadi 10,790.31, Indeks FBMT 100 susut 2.12 mata kepada 10,484.73, Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 4.81 mata kepada 11,611.22 dan Indeks FBM ACE merosot 27.49 mata kepada 6,158.01

Sebaliknya, indeks FBM 70 meningkat 67.45 mata kepada 13,941.65.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.35 mata kepada 193.68 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 7.92 mata kepada 15,086.54, tetapi Indeks Perladangan susut 33.82 mata kepada 6,396.68.- Bernama

Sumber