Eddie Hamid, komposer terkenal yang mencipta fenomena dengan lagu viral “Cinta Setandan Pisang” (Bey Sobar Bey), kini kembali dengan buah tangan terbaharu, “Curey Depe Mato.”
Lagu ini membawa konsep yang berbeza, dengan menggabungkan genre ‘Pop Dangdut Moden’ dan menampilkan Adik Waniey, seorang penyanyi berbakat yang semakin mencipta nama.
Dicipta dengan keunikan tersendiri, lagu ini juga menyampaikan mesej mendalam mengenai kecurangan yang berlaku secara terang-terangan, satu tema yang semakin mendapat perhatian dalam masyarakat kini.
Lagu “Curey Depe Mato” menampilkan keistimewaan dari sudut muzik dan gaya persembahan. Adik Waniey, atau nama sebenarnya Azmahirwani Nordin, telah dipilih oleh Eddie Hamid kerana kemampuan suaranya yang serasi dengan melodi dan rentak lagu ini.
Walaupun melodi tersebut sedikit berbeza dari kebiasaannya, Adik Waniey berjaya membawakan lagu ini dengan cemerlang. “Saya melihat Adik Waniey mampu menyanyikan pelbagai genre lagu, dan ini menjadikan dia pilihan tepat untuk lagu ‘Curey Depe Mato,’” kata Eddie Hamid.
Lagu ini membawa lenggok yang lebih halus dan unik, memberikan warna baharu kepada muzik dialek Kelantan yang biasanya lebih berunsurkan tradisional.
Eddie turut mendedahkan bahawa setiap lagu ciptaannya membawa mesej tersirat, dan “Curey Depe Mato” tidak terkecuali. Lagu ini diinspirasikan daripada isu kecurangan yang semakin menjadi kebiasaan di mana ramai yang melakukannya secara terang-terangan.
Eddie menjelaskan, “Zaman sekarang, kecurangan depan mata semakin biasa. Lagu ini membawa mesej tentang situasi semasa ini dan diharap mampu menyentuh hati pendengar.”
Lagu ini ditulis oleh penulis lirik berpengalaman, Mama Anna, Te Ha, dan Jaju, yang merupakan pakar dalam menyusun kata-kata dalam dialek Kelantan. Eddie memilih mereka untuk menghasilkan lirik yang lebih autentik dan menjiwai konsep lagu tersebut.
Lebih menarik lagi, “Curey Depe Mato” turut memperkenalkan bakat baharu, Adam ZBP, yang semakin popular di Kelantan. Menurut Eddie, kemunculan Adam dalam lagu ini adalah sebagai persediaan sebelum beliau melancarkan album solo sendiri.
“Saya nak bagi pendedahan kepada Adam ZBP, kerana dia punya potensi besar. Lagu ini telah menerima sambutan yang baik sejak dilancarkan dan sudah mula dimainkan di beberapa stesen radio,” kata Eddie dengan penuh keyakinan.
Eddie juga berharap lagu ini dapat mengekalkan momentum populariti sepertimana karya-karyanya sebelum ini.
Bagi Adik Waniey, genre muzik Pop Dangdut Moden ini merupakan cabaran baharu yang diterima dengan terbuka. Sebagai seorang artis yang pernah mewakili Malaysia dalam pertandingan Dangdut Academy Asia 3 pada tahun 2017, Adik Waniey percaya bahawa beliau perlu terus bereksperimen dengan pelbagai genre untuk mengembangkan lagi bakatnya.
“Walaupun pada mulanya genre ini agak asing bagi saya, saya terima cabaran ini kerana saya percaya seorang penghibur perlu berkebolehan menyanyikan pelbagai jenis lagu. Saya yakin dengan masa, saya boleh menjiwai genre ini dengan lebih baik,” kata Adik Waniey.
Kini, lagu “Curey Depe Mato” boleh distrim di semua platform penstriman muzik termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music. Video muzik rasmi juga telah dilancarkan di saluran YouTube Kijang Music, di mana ia terus menerima sambutan hangat daripada peminat.
Lagu ini dijangka terus meraih perhatian dan menjadi satu lagi pencapaian hebat buat Eddie Hamid, Adik Waniey, dan Adam ZBP dalam industri muzik tanah air.