CIDB lancar portal sehenti Convince

CIDB lancar portal sehenti Convince

LEMBAGA Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melancarkan portal sehenti maklumat pembinaan (Convince), satu inisiatif utama di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) dari 2016 – 2020, yang boleh diakses oleh semua pemegang kepentingan industri.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, Convince menyediakan maklumat terkini dan dikemas kini dalam bentuk perangkaan pembinaan interaktif, perkhidmatan permintaan data, penerbitan digital dan direktori pencarian.

Menurutnya, maklumat yang disediakan menerusi Convince membolehkan organisasi membuat formulasi dasar yang lebih berkesan, perancangan strategik dan ramalan industri pembinaan.

“Ia mempunyai akses maklumat pembinaan komprehensif yang akan membolehkan peserta industri dan pemegang kepentingan membuat keputusan berdasarkan kepada maklumat dan mengurangkan risiko perniagaan.

“Kami menjangkakan lebih 3,000 pengguna akan mendaftar dalam Convince menjelang akhir 2021,” katanya pada majlis pelancaran Convince di Kuala Lumpur kelmarin.

Baru berkata, Convince juga akan meningkatkan kesedaran mengenai maklumat pembinaan, khususnya untuk mewujudkan platform dalam talian bagi mengurus dan menyusun maklumat pembinaan, meningkatkan kecekapan dan kebolehpercayaan dalam menganalisis data serta memudahkan akses dan ketersediaan maklumat pembinaan.

Selain pelancaran Convince, Baru juga dalam ucapannya turut mengumumkan lapan bidang fokus CITP yang terdiri daripada kualiti, keselamatan, profesionalisme, kemampanan alam sekitar, latihan kemahiran, teknologi, eksport dan pedayasaingan sehingga Disember 2019.

Setakat ini, katanya, CITP mencapai 70 peratus daripada sasaran program.

“Saya gembira kerana apa yang kita lakukan selama lima tahun adalah untuk menetapkan ekosistem di tempatnya.

“Memandangkan sasaran CITP yang direalisasikan dalam jangka masa singkat, pencapaian industri ini boleh dipuji,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, transformasi industri pembinaan Malaysia adalah proses yang berterusan.

“Kita mesti terus menyokong perubahan sistematik untuk mewujudkan budaya baharu dalam industri supaya pemain industri kita yakin dan berdaya saing hingga ke peringkat global,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai insiden sebuah kondominium yang runtuh di Taman Desa, Jalan Klang Lama pada 14 Februari lalu, Baru berkata, keputusan siasatan ke atas sebahagian struktur bangunan 37 tingkat itu dijangka siap dalam tempoh sebulan.

Katanya, insiden disiasat di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994, iaitu Seksyen 33D(1) mengenai Sijil Pematuhan Standard, Seksyen 33A(1) mengenai pendaftaran pekerja dan akreditasi dan Seksyen 25 (1) berkenaan pendaftaran kontraktor.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *