Chatime Malaysia Sdn Bhd (Chatime), membuka cawangan baharunya dalam pawagam TGV Cinemas di pusat beli-belah Central i-City, Shah Alam, Selangor sekali gus menjadikannya jenama teh bubble pertama membuka cawangan dalam pawagam, dengan jangkaan berada di lebih banyak pawagam dalam masa terdekat.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Aliza Ali berkata, cawangan pertama Chatime dalam rangkaian pawagam popular, TGV Cinemas itu adalah bagi memberi lebih pilihan kepada pelanggan yang ingin menonton wayang sambil menikmati makanan dan minuman kegemaran mereka.
“Mungkin sebelum ini ada peminat teh bubble membawa masuk minuman kegemaran mereka secara diam-diam ke dalam pawagam, kini mereka tidak perlu lagi berbuat demikian,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Chatime, Widayu Latiff menjelaskan, kerjasama Chatime dengan TGV Cinemas Sdn Bhd itu membuktikan komitmen syarikatnya dalam menjadikan Chatime sebagai jenama minuman gaya hidup masa kini.
“Sebagai sebuah jenama minuman gaya hidup, kami komited dalam menjalinkan kerjasama dengan pelbagai jenama daripada pelbagai segmen termasuklah hiburan, program kesetiaan syarikat penerbangan, telekomunikasi, institusi pengajian tinggi dan banyak lagi,” katanya.
Mula dibuka kepada orang ramai pada 23 Mac lalu, Chatime TGV Cinemas terletak di pintu masuk TGV Cinemas di Central i-City, Shah Alam.