Celcom lantik Halim sebagai Pengerusi Interim

Celcom lantik Halim sebagai Pengerusi Interim

CELCOM Axiata Berhad (Celcom) melantik Tan Sri Dr Halim Shafie sebagai Pengerusi Interim berkuat kuasa pada Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Idham Nawawi berkata, pihaknya mengalu-alukan pelantikan terbabit dan teruja untuk bekerjasama dengannya dan lembaga pengarah.

“Kami mengharapkan bimbingan serta kepimpinan beliau dalam memacu organisasi ke arah langkah baharu dan mencipta nilai sebenar untuk pelanggan kami,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pelantikan itu susulan daripada pengumuman Datuk Izzaddin Idris yang meletak jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata serta sebagai Pengerusi Celcom di mana kedua-duanya berkuat kuasa pada 31 Mei lalu.

Halim sebelum ini dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif bagi Axiata Group Berhad (Axiata) pada 1 November 2020.

Beliau juga telah berkhidmat di pelbagai agensi kerajaan termasuklah Kementerian Pendidikan, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Halim merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi pada tahun 2000 dan merupakan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dari tahun 2006 hingga 2009 sebelum memegang jawatan sebagai Pengerusi Telekom Malaysia Berhad dari 2009 hingga 2015.

Jawatan terakhinya sebelum menyertai Axiata adalah sebagai Pengerusi SKMM yang dilantik buat kali kedua dari 2015 hingga 2018.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber