Celcom laksanakan pelaburan perbelanjaan modal RM825 juta

Celcom laksanakan pelaburan perbelanjaan modal RM825 juta

CELCOM Axiata Berhad (Celcom) telah melaksanakan pelaburan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM825 juta dalam membangun 250 tapak rangkaian baharu serta mengoptimumkan 8,000 tapak dengan liputan dan kapasiti 4G yang telah dipertingkatkan.

Celcom dalam satu kenyataan berkata, pelaburan rangkaian Celcom telah meningkatkan liputan populasi 4G LTE dengan kualiti rangkaian yang lebih pantas terutamanya di Sabah, Pahang, Terengganu, Sarawak, Negeri Sembilan dan Kedah sejak sembilan bulan lalu.

“Celcom telah mencapai purata lebih daripada 94 peratus liputan populasi LTE di seluruh negara dengan 98 peratus atau lebih liputan populasi di sembilan negeri.

“Penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Celcom di seluruh negara antaranya melibatkan lebih 1,800 tapak di Sabah dan Sarawak dengan masing-masing memperlihatkan peningkatan liputan populasi LTE sebanyak 4G LTE ‘pop coverage’ 6pp dan 1.9pp,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Datuk Idham Nawawi berkata, trajektori pertumbuhan Celcom merupakan hasil daripada fokus berterusan dalam pengurusan kos operasi dan pelaburan rangkaian yang dipacu serta disokong dengan prestasi pasaran kukuh oleh pasukan jualannya serta portfolio produk yang kompetitif.

Celcom telah meningkatkan liputan populasi 4G LTE dengan kualiti rangkaian yang lebih pantas.

Celcom telah meningkatkan liputan populasi 4G LTE dengan kualiti rangkaian yang lebih pantas.

“Pelanggan kami dapat menikmati salah sebuah daya pengeluaran yang tertinggi dengan rangkaian kami. Kami akan terus melabur dalam usaha mempertingkat rangkaian dan menangani trafik data yang meningkat bagi memastikan rangkaian kami menjangkau kesemua lapisan masyarakat, termasuk kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak.

“Kami sedang memodenkan rangkaian kami dengan teknologi rangkaian terkini, termasuk teknologi 8T8R RAN yang akan meningkatkan kapasiti mudah alih dan pengalaman pengguna dengan ketara,” katanya.

Beliau berkata, penambahbaikan rangkaian Celcom juga termasuk penamatan perkhidmatan 3G yang akan membolehkannya memperuntukkan lebih banyak sumber rangkaian dan spektrum kepada 4G LTE, menjadikan rangkaian kami bersedia untuk rangkaian 5G.

“Kami akan tertumpu pada pengurusan kos yang cekap, membolehkan penjimatan kos sambil mengekalkan keuntungan.

“Dengan pertumbuhan pelanggan yang menggalakkan, termasuk pertumbuhan pengguna daripada Operator Rangkaian Maya Mudah Alih MVNO, inisiatif penjimatan kos Celcom tidak akan menjejaskan atau membebankan pelanggan kami sebaliknya ia membolehkan kami menawarkan produk dan perkhidmatan yang lebih inovatif pada harga berpatutan, terutamanya dalam pasaran perusahaan,” jelasnya.

Sumber