Celcom-Heitech bekerjasama lengkapkan ambulans pintar

Celcom-Heitech bekerjasama lengkapkan ambulans pintar

KUALA LUMPUR – Celcom Axiata Bhd (Celcom) dan HeiTech Padu Bhd (HeiTech) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada Khamis untuk meneroka perkembangan perkhidmatan penjagaan kesihatan dalam melengkapkan pasukan ambulans Malaysia dengan teknologi pintar.

Menurut kenyataan bersama Celcom dan HeiTech, teknologi dan peranti pintar membolehkan profesional penjagaan kesihatan kecemasan bertukar maklumat masa sebenar sewaktu perjalanan ambulans dengan pakar kesihatan yang sedang berada di hospital.

“Ambulans pintar akan dilengkapkan dengan kamera berdefinisi tinggi (HD) dan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk memantau keadaan di dalam ambulans, termasuk dari sudut pandangan pemandu.

“Kamera badan juga akan dilengkapi pada responden penjagaan kesihatan kecemasan pertama supaya paparan situasi pesakit tersebut dapat dilihat secara langsung dari pusat kawalan hospital,” jelas kedua-dua pihak.

Celcom dan HeiTech menambah, ambulans pintar juga akan dilengkapi dengan sistem pengurusan kumpulan ambulans serta Sistem Penentududukan Global (GPS) bagi memantau dan mengawasi keberadaan ambulans mengikut waktu sebenar.

“Pasukan penjagaan kesihatan kecemasan yang bertugas atau dalam transit ke hospital dapat memeriksa dan menghantar data kepada profesional penjagaan kesihatan yang berada di hospital menerusi penggunaan rakaman video masa sebenar supaya dapat bersiap siaga sebelum ketibaan ambulans serta dapat membuat keputusan yang lebih baik dalam menyelamatkan nyawa,” menurut kedua-duanya.

Kerjasama HeiTech sebagai penyedia perkhidmatan sistem dan teknologi terkemuka untuk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan Celom, yang merupakan penyedia liputan 4G LTE paling luas di Malaysia dan perkhidmatan rangkaian kesambungan berkelajuan tinggi itu, bertujuan memberi akses teknologi dan alat komunikasi canggih untuk responden pertama merawat pesakit dengan lebih cekap dan berkesan.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Idham Nawawi berkata dengan Revolusi Perindustrian Keempat di Malaysia, teknologi pintar berpotensi mengubah perkhidmatan penjagaan kesihatan masa kini dengan sistem tindak balas perubatan kecemasan masa sebenar yang boleh dipercayai

“Berlandaskan tujuan meningkatkan kecekapan dalam menyelamatkan lebih banyak nyawa rakyat Malaysia, ambulans pintar akan berfungsi sebagai bilik kecemasan mudah alih digital supaya dapat menyelamatkan pesakit serta meningkatkan industri penjagaan kesihatan negara ke tahap yang seterusnya,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Sementara itu, Presiden dan Timbalan Pengerusi Eksekutif HeiTech, Datuk Seri Mohd Hilmey Mohd Taib berkata, kerjasama tersebut akan memanfaatkan potensi besar teknologi komunikasi 5G dalam penjagaan kesihatan digital.

Beliau berkata, ini sudah pasti akan membantu negara merealisasikan potensi teknologi sepenuhnya dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Ambulans pintar yang disokong oleh rangkaian 5G akan membawa makna baharu kepada penjagaan kesihatan dan kami berharap ia akan memulakan gelombang inovasi yang lain untuk memberi manfaat kepada ramai orang,” katanya. – Bernama

Sumber