CBP prihatin nasib pelanggan

CBP prihatin nasib pelanggan

COOPBANK Pertama (CBP) prihatin dan mengambil langkah proaktif terhadap keperluan pelanggan dengan menyediakan pelbagai penyelesaian terbaik untuk membantu mereka yang menghadapi keadaan ekonomi tidak menentu akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Pengerusinya, Kamari Zaman Juhari berkata, CBP bersedia untuk memastikan keperluan kewangan pelanggan diberikan keutamaan dan membantu mereka keluar daripada persekitaran yang mencabar.

Menurutnya, CBP yang terlibat dalam melaksanakan moratorium automatik melibatkan kutipan sebanyak hampir RM40 juta sebulan atau RM240 juta selama enam bulan.

“Sepanjang enam bulan pelaksanaan moratorium, CBP telah memberi manfaat kepada lebih 58,000 akaun yang berjumlah RM3.8 bilion.

“CBP telah menerima banyak pertanyaan daripada pelanggan mengenai moratorium,” katanya kepada Sinar Harian di sini kelmarin.

Katanya, untuk moratorium lanjutan pula, CBP menawarkan kepada pelanggan yang hilang punca pendapatan seperti dibuang kerja atau pemotongan gaji dan permohonan lanjutan ini telah pun ditutup pada September yang lepas.

“Bagaimanapun, bagi pelanggan yang mempunyai kesukaran untuk membuat bayaran seperti biasa, mereka boleh datang ke cawangan CBP untuk memohon penjadualan semula pembayaran,” kata beliau.

Kamari berkata, CBP juga telah memperuntukkan dana sebanyak RM20 juta bagi membantu firma profesional serta koperasi dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berasaskan aktiviti perkhidmatan dan pengguna di bawah program CB-Prihatin (Profesional) seperti firma guaman, klinik, firma kejuruteraan dan sebagainya.

“Program ini membantu mengurangkan masalah aliran tunai jangka pendek dan mengekalkan operasi perniagaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, seperti industri-industri lain, CBP juga tidak terkecuali menerima kesan wabak berkenaan antaranya ialah operasi seperti aktiviti-aktiviti pemasaran, waktu urusan perbankan serta urusan ‘recovery’ pembiayaan tidak dapat dijalankan seperti biasa.

“Untuk pastikan prestasi CBP terus mantap dan kukuh, kaedah pemasaran digital telah diperkenalkan dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh CBP,” kata beliau.

Menurut Kamari, CBP telah merangka beberapa strategi antaranya mengadakan kempen pemasaran kepada pelanggan yang disasarkan untuk kukuh dalam pasaran.

“CBP sedang mengadakan kempen khas bagi Pembiayaan Persendirian-i iaitu Kempen Kita Jaga Kita (#KJK). Melalui kempen ini, CBP menawarkan kadar tetap serendah 2.75 peratus pembiayaan sehingga RM200,000,” katanya.

Beliau berkata, sehingga 31 Oktober 2020, kempen itu telah mencatatkan RM331.08 juta dan merekodkan sebanyak 4,871 akaun pelanggan.

Katanya, CBP menawarkan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan kewangan seperti akaun simpanan, produk pembiayaan seperti pembiayaan persendirian, perumahan, modal kerja bagi sektor korporat dan koperasi, perkhidmatan Ar-Rahnu serta penulisan wasiat dan bancatakaful.

“Di antara produk dan perkhidmatan yang ditawarkan adalah seperti akaun simpanan-I Salam khusus untuk memenuhi keperluan mengikut profil pelanggan seperti murid sekolah, peniaga runcit dan orang dewasa.

“Pulangan keuntungan yang ditawarkan juga adalah tinggi iaitu 1.75 peratus berbanding akaun simpanan biasa (0.2 peratus-0.85 peratus),” katanya.

Beliau berkata, CBP memperuntukkan dana sebanyak RM700 juta di bawah Skim Pembiayaan Sektor Koperasi bagi membantu koperasi-koperasi untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Menariknya, Kamari berkata, perkhidmatan Ar-Rahnu di CBP telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan dan mencapai sasaran yang ditetapkan menjelang akhir tahun 2020.

Kamari optimis CBP akan menjadi pilihan utama kerana menawarkan produk dan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Kamari optimis CBP akan menjadi pilihan utama kerana menawarkan produk dan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan. – Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

“CBP menyasarkan jumlah nilai marhun ArRahnu CBP bagi tahun 2020 ialah RM168.9 juta dan sasaran ini telah dicapai pada bulan Ogos yang lepas.

“Sehingga Oktober, nilai marhun Ar-Rahnu CBP telah mencatatkan RM243.1juta. Saya yakin momentum prestasi ini akan terus berkembang dalam masa yang akan datang,” katanya.

Kamari berkata, buat masa ini, CBP mempunyai jumlah keanggotaan melebihi 90,000 yang terdiri dari pelabur individu dan badan-badan koperasi.

“Setakat ini, CBP mempunyai 28 cawangan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. CBP juga mahu memperluaskan perkhidmatan ejen perbankan di negeri Selangor, Pulau Pinang, Perak bagi membolehkan pelanggan melaksanakan aktiviti perbankan.

“Kami akan memperkenalkan beberapa perkhidmatan yang berinovatif bagi meningkatkan kemudahan pelanggan kami pada tahun 2021 selaras dengan perkembangan semasa dalam pendigitalan perbankan,” katanya.

Beliau berkata, model perniagaan CBP lebih berasaskan ‘community/cooperative centric’ yang mengutamakan elemen kelestarian berbanding ‘profit maximisation’.

“CBP merupakan bank koperasi dan bukan bank komersial atau perdagangan,” katanya.

Mengulas Belanjawan 2021, Kamari berkata, ia adalah belanjawan yang baik dan sesuai kerana suasana yang dihadapi sekarang sangat mencabar.

“Saya yakin keputusan yang dibuat oleh kerajaan akan memberi kebaikan kepada rakyat.

“Kerajaan telah memperuntukkan jumlah bajet yang besar bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terbela dan langkah-langkah perlu diambil untuk mengatasi cabaran pandemik Covid-19,” katanya.

Menurut Kamari, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang diketuai oleh Datuk Nordin Salleh selaku Pengerusi Eksekutifnya bertindak sebagai pengawal selia dan sentiasa merangsang pembangunan koperasi dan memastikan sektor koperasi sentiasa kukuh dan teratur menurut nilai-nilai serta prinsip koperasi bagi menyumbang ke arah pencapaian objektif sosio-ekonomi negara.

“Buat masa ini, hanya dua koperasi khusus menjalankan fungsi perbankan iaitu Bank Rakyat dan CBP. Sebagai sebuah Co-opbank yang dikawalselia oleh SKM, SKM sentiasa menyokong usaha CBP untuk berkembang mengikut Pelan Pembangunan Sektor Perkhidmatan Kewangan Koperasi 2016-2020,” katanya.

Tambahnya, Gerakan Koperasi Negara (Gerakan Koperasi) telah berjaya memimpin dan membantu koperasi-koperasi lain untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Kami harap gerakan ini dapat membimbing dan membawa koperasi terus ke hadapan,” katanya.

Beliau berharap Hari Koperasi Negara akan terus diadakan bertujuan untuk menjelaskan aktiviti, peranan dan hala tuju Gerakan Koperasi.

Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad adalah sebuah pertubuhan koperasi yang ditubuhkan di bawah Akta Koperasi 1993 dan didaftarkan pada 7 Jun 1950 dengan nama asalnya The Province Wellesley Co-operative Banking Union Limited.

Pada tahun 1959 nama tersebut telah ditukarkan kepada Bank Persatuan Kerjasama Seberang Perai Berhad. Pada tahun 1995, namanya telah ditukar menjadi Koperasi Bank Persatuan Malaysia Berhad.

Pada tahun 2014, CBP telah menerima pengiktirafan menjadi Co-opbank dan ditukarkan nama kepada Koperasi Co-opbank Persatuan Malaysia Berhad.

Pada April 2018, nama CBP sekali lagi telah ditukar kepada Co-opbank Pertama (CBP) dengan menerapkan nama tempat asal penubuhan CBP di Kampung Pertama, Permatang Pauh.

CBP menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan patuh syariah sama seperti institusi kewangan lain.



Sumber