CBP budayakan integriti dalam organisasi

CBP budayakan integriti dalam organisasi

CO-op Bank Pertama (CBP) menyatakan komitmen membudayakan integriti dalam organisasi perbankannya dengan lafaz dan menandatangani ikrar bebas rasuah.

Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi berkata, langkah itu sebagai pencegahan dalam menangani sebarang isu integriti dan salah laku.

“Jenayah penyelewengan dan salah laku boleh berlaku di mana-mana organisasi dan ini adalah sebagai langkah pencegahan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis ikrar tersebut dekat sini pada Rabu.

Menurutnya, lafaz dan ikrar integriti tersebut akan diperluaskan ke 29 lagi cawangannya.

“Hari ini seramai 60 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan pengurusan CBP yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksklusif Khairil Anuar Mohammad Anuar melafazkan ikrar dan dijangka menjelang akhir Februari kesemua 650 kakitangan selesai berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata, bagi kakitangan baharu, staf tersebut perlu melafazkan ikrar pada hari pertama lapor diri di CBP.

“Ini adalah salah satu usaha berterusan CBP untuk memupuk nilai murni dalam warga kerja dan secara tidak langsung menjadikan CBP ini sebuah organisasi berprestasi tinggi, cekap, bertanggungjawab, amanah dan berintegriti,” katanya.

Baharom dalam pada itu mengharapkan kakitangan CBP terus jujur dalam melaksanakan tugas.

“Saya harap kejayaan dicapai CBP lebih 70 tahun tidak akan dirosakkan dengan aktiviti salah laku, rasuah, pembocoran rahsia CBP atau apa-apa isu integriti,” katanya.

Sumber