Cara mudah kurangkan risiko kanser

Cara mudah kurangkan risiko kanser

PADA 4 Februari setiap tahun, dunia akan meraikan sambutan Hari Kanser Sedunia. Pada tahun ini, bertemakan ‘I Am and I Will” atau “Saya Sedar dan Saya Akan Lakukan Perubahan”, pastinya pelbagai program kesedaran dilaksanakan bagi mengajak orang ramai untuk sama-sama memainkan peranan dalam membendung penyakit kanser.

Akan tetapi, tahukah anda cara terbaik mengurangkan risiko kanser?

Sehingga kini, penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi dan kanser menunjukkan trend yang semakin meningkat di Malaysia. Penyakit-penyakit berkenaan merupakan penyakit berkaitan gaya hidup seperti pekerjaan, pemakanan tidak seimbang, aktiviti sedentari dan penggunaan tembakau dan alkohol.

Antara tiga kanser utama dalam kalangan perempuan ialah :

1. Kanser payudara

2. Kanser kolorektal

3. Kanser serviks

Antara tiga kanser utama dalam kalangan lelaki pula ialah :

1. Kanser kolorektal

2. Kanser paru-paru

3. Kanser prostat

Persoalannya kini bagaimanakah cara ingin mencegah terhadap risiko kanser berkaitan pemakanan?

Ikuti panduan berikut:

– Kawal pengambilan kalori daripada sumber lemak.

Kawal penggunaan minyak dan lemak dalam masakan di samping mengutamakan cara masakan yang lebih sihat seperti goreng ringkas, gril, rebus atau sup. Baca label dan pilih minyak masak yang rendah lemak tepu, sederhana lemak poli tak tepu dan tinggi lemak mono tak tepu dan elak minyak yang mengandungi lemak trans.

– Ambil makanan berasaskan tumbuhan seperti sayur, buah, bijirin penuh dan kekacang yang kaya vitamin,mineral, antioksida dan sumber serat.

Makan sekurang-kurangnya lima sajian sayur dan buah (tiga sajian sayur dan dua sajian buah setiap hari). Kawal pengambilan daging merah agar tidak berlebihan.

– Hadkan pengambilan karbohidrat ringkas seperti gula.

Pengambilan kalori daripada gula tidak seharusnya melebihi 10 peratus daripada saranan pengambilan kalori harian, termasuk gula tersembunyi. Kurangkan gula dalam penyediaan makanan dan minuman secara beransur kerana satu sudu teh gula sudah cukup untuk satu hidangan minuman.

– Kawal penggunaan garam dalam masakan dan kurangkan kekerapan memakan makanan yang tinggi garam. Kurangkan makanan terproses, makanan sedia dimakan, makanan segera, makanan diawet dan penambah perasa.

Pengambilan garam tidak harus melebihi satu sudu teh garam sehari, termasuk garam tersembunyi. Pilih garam beriodin sekiranya menggunakan garam dalam penyediaan makanan.

– Kekalkan berat badan dalam lingkungan yang sihat, timbang berat badan anda secara berkala dan kawal kenaikan atau penurunan berat badan yang tidak dirancang.

Pastikan anda menjalani gaya hidup yang aktif dan kurangkan aktiviti sedentari. Bersenam sekurang-kurangnya 150 minit seminggu.

Sumber : @nutrionistkkm



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *