Cabaran keluarga ketika pandemik Covid-19

Cabaran keluarga ketika pandemik Covid-19

SHAH ALAM – Kes perceraian di Malaysia merekodkan peningkatan luar biasa sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu bagi memutuskan rantaian penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Trend peningkatan itu juga dijangka berterusan apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya ketika ini.

Pakar motivasi dan kaunseling, Hushim Salleh berkata, masalah kewangan menjadi antara penyebab utama berlakunya perceraian kerana ramai suami diberhentikan kerja dan hilang punca pendapatan akibat Covid-19.

Menurutnya, masalah kewangan itu akan mempengaruhi komunikasi antara suami dan isteri kerana mungkin pasangan akan meninggikan suara antara satu sama lain kerana tertekan, seterusnya keadaan itu akan mewujudkan ketidaksefahaman.

“Banyak kes berlaku melibatkan golongan B40 seperti pekerja kilang, pembantu makan dan ada juga yang bekerja sendiri seperti peniaga kecil-kecilan.“Kebanyakan mereka hidup umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Masalah kewangan boleh menimbulkan konflik rumah tangga,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Hushim yang merupakan Naib Pengerusi II Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Selangor dan Pengerusi Perkim Klang berkata, demikian sebagai mengulas program baharu Wacana Al-Quran anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Sinar Harian dan Karya Bestari yang bakal menemui penonton pada 19 Oktober ini.

Beliau berkata, konflik juga lebih mudah berlaku apabila tempat tinggal yang dihuni sesebuah keluarga sempit dan sesak.

Menurutnya, berdasarkan pengalamannya mengagihkan bantuan kepada golongan memerlukan, beliau melihat sendiri ada rumah flat yang dihuni seramai empat hingga lima buah keluarga yang masing-masing menyewa bilik kecil.

“Ada antara keluarga itu mempunyai dua tiga orang anak, jadi cuba bayangkan bagaimana tidak berlaku masalah dalam rumah tangga kerana kita sekarang habiskan lebih banyak masa di rumah.

“Dengan keadaan sekolah ditutup, anak-anak kerap minta makan dan duit pula tidak ada, manusia normal akan cepat jadi marah,” katanya.

Sebagai kaunselor berdaftar, katanya, beliau mengendalikan tiga kes pasangan yang mahu bercerai setiap hari sejak PKP dilaksanakan.

“Ramai yang hendak datang jumpa saya untuk mendapat kaunseling tetapi sebab kemampuan terbatas, saya terpaksa hadkan untuk kendalikan tiga kes sehari. Satu sesi kadangkala ambil masa berjam-jam.

“Apa yang saya boleh kongsikan, kira-kira 70 hingga 80 peratus kes pasangan yang datang adalah disebabkan mereka tiada wang simpanan.

“Ada suami mengaku duit yang ada mungkin boleh bertahan untuk belanja seminggu sahaja. Jadi, masyarakat perlu sedar pentingnya membuat simpanan untuk kegunaan waktu-waktu sukar seperti ini,” katanya.

Hushim berkata, bagi menangani kes perceraian, pasangan suami isteri perlu lebih banyak bersabar, berfikiran positif, rasional dan bermuhasabah diri kerana setiap ujian yang diturunkan ALLAH SWT mempunyai hikmah.

Menurutnya, suami isteri juga perlu meningkatkan ilmu keibubapaan agar mereka tidak mudah mengambil keputusan untuk bercerai dan mengutamakan nasib anak-anak.

“Saya sokong langkah proaktif WUIF, Sinar Harian dan Karya Bestari menganjurkan Wacana Al-Quran kerana kupasan mengenai kitab suci itu diyakini mampu membantu meningkatkan keimanan serta kesabaran masyarakat berdepan ujian hidup.

“Program ini juga boleh ditonton seisi keluarga, sekali gus dapat bersama-sama mendalami inti pati al-Quran,” kata beliau.



Sumber