Bursa Malaysia terus catat kenaikan pagi ini

Bursa Malaysia terus catat kenaikan pagi ini

BURSA Malaysia meneruskan keuntungan dicatatkan semalam dan dibuka tinggi pagi Khamis, mengambil petunjuk daripada mod risiko di Wall Street yang memberi bertindak balas kepada kenyataan Rizab Persekutuan yang lebih cenderung untuk menaikkan kadar faedah, kata para peniaga.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 3.23 mata kepada 1,486.04 berbanding 1,482.81 pada penutupan urus niaga Rabu.

Indeks utama dibuka 2.65 mata lebih tinggi pada 1,485.46.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi 205 berbalas 79 manakala 188 kaunter tidak berubah, 1,843 tidak diniagakan dan 37 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 149.77 juta unit bernilai RM104.29 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, FBM KLCI semalam berakhir lebih tinggi sedikit selepas menebus semua kerugian hariannya apabila saham wajaran tinggi perbankan dan penjagaan kesihatan mendahului lantunan sebelum Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) mengumumkan hasil mesyuaratnya.

“Walaupun Fed memberi isyarat akan berlakunya tahap pengurangan belian yang lebih pantas dan tiga kenaikan kadar pada tahun 2022 untuk memerangi inflasi, Wall Street melantun semula dan memberi tindak balas positif terhadap langkah itu. Kami percaya minat belian mungkin melimpah ke pasaran tempatan, terutamanya pada saham teknologi, menjejaki pergerakan di Nasdaq,” katanya.

Firma pembrokeran itu berkata, bahawa harga minyak mentah pulih sedikit dan kekal melepasi paras AS$73 setong, manakala harga minyak sawit mentah (MSM) terus mencatatkan kerugian.

“Peniaga mungkin beri tumpuan kepada sektor teknologi susulan pemulihan di Nasdaq semalaman. Selain itu, peserta pasaran juga boleh berharap pada kaunter berkaitan 5G berikutan bermulanya perkhidmatan 5G di Malaysia.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menokok dua sen kepada RM8.12, manakala IHH Healthcare susut satu sen kepada RM6.47, Tenaga turun dua sen kepada RM9.27, dan Public Bank serta Petronas Chemicals tidak berubah masing-masing pada RM4.01 dan RM8.61.

Bagi saham aktif, Aurelius naik 10 sen kepada RM1.46, SMTrack meningkat setengah sen kepada sembilan sen, manakala ATA IMS dan Malayan United Industries turun setengah sen setiap satu kepada 69 sen dan 6.5 sen, dan Top Builders tidak berubah pada empat sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas 31.78 mata lebih tinggi pada 10,847.22, Indeks FBMT 100 naik 28.68 mata kepada 10,537.85, manakala Indeks FBM Emas Syariah meningkat 36.13 mata kepada 11,676.40.

FBM 70 menokok 61.20 mata kepada 14,000.50 dan FBM ACE naik 5.90 mata kepada 6,204.03.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.56 mata kepada 194.48, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 42.20 mata kepada 15,149.12 dan Indeks Perladangan mengembang 10.94 mata kepada 6,397.98. – Bernama

Sumber