Bursa Malaysia mulakan 2022 dengan aliran rendah

Bursa Malaysia mulakan 2022 dengan aliran rendah

BURSA Malaysia memulakan 2022 dengan aliran rendah berikutan sentimen pasaran diselubungi oleh perkembangan terkini berkaitan Omicron dalam persekitaran aktiviti pengambilan untung susulan situasi tidak menentu baru-baru ini.

Pada jam 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 17.77 mata kepada 1,549.76 selepas indeks utama ditutup pada 1,567.53 pada Jumaat.

Indeks dibuka rendah 13.89 mata kepada 1,553.64.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 146 berbanding 121 manakala 217 kaunter tidak berubah, 1,790 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 117.54 juta unit bernilai RM40.03 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd, dalam nota penyelidikan berkata, FBM KLCI meningkat pada hari dagangan terakhir pada 2021 berikutan aktiviti belian saham pada harga rendah terutamanya dalam saham wajaran tinggi perbankan dan telekomunikasi, meningkat pada waktu dagangan akhir.

Katanya, susulan tahun dagangan yang tidak menentu, bursa tempatan dijangka meningkat semula pada masa depan dengan sektor yang mencatatkan pemulihan menjadi tumpuan utama.

“Bagaimanapun, sentimen dijangka terjejas oleh kes varian Omicron yang meningkat di seluruh dunia.

“Namun, peserta pasaran mungkin gembira dengan kembalinya duti setem dagangan saham yang dihadkan pada RM1,000 mulai hari ini,” menurut firma penyelidikan itu.

Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan menunaikan umrah bermula 8 Januari ini untuk membendung penularan varian Omicron Covid-19.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, penangguhan sementara aktiviti umrah bertujuan memperlahankan penularan varian Omicron Covid-19 dalam negara berikutan berdasarkan data menunjukkan hampir 78 peratus daripada jangkaan kes Omicron baharu adalah daripada jemaah umrah.

Daripada saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB, masing-masing merosot dua sen kepada RM8.28 dan RM5.43, Petronas Chemicals susut tiga sen kepada RM8.89, IHH Healthcare berkurangan 36 sen kepada RM6.98 dan Tenaga turun empat sen kepada RM9.30 manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.16.

Daripada saham aktif, SMTRack dan NWP, masing-masing menambah setengah sen kepada 19.5 sen dan 25 sen manakala Kejuruteraan Asastera, DGB dan Pasukhas, masing-masing tidak berubah pada 25.5 sen, tiga sen dan 2.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah merosot 140.68 mata kepada 12,122.42, Indeks FBM Emas jatuh 88.27 mata kepada 11,220.52, FBM 70 susut 6.14 mata kepada 14,203.81 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 97.36 mata kepada 10,917.77.

Bagaimanapun, FBM ACE meningkat 24.44 mata kepada 6,444.04.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.55 mata kepada 202.16, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 19.9 mata kepada 15,545.73 manakala Indeks Perladangan naik 0.78 mata kepada 6,552.89.– Bernama

Sumber