Bursa Malaysia ditutup tinggi

Bursa Malaysia ditutup tinggi

BURSA Malaysia ditutup tinggi hari ini apabila permintaan belian kukuh dalam saham wajaran tinggi membantu meningkatkan petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI).

Pada jam 5 petang, indeks itu naik 19.62 mata untuk ditutup kepada 1,726.18 daripada paras penutup 1,706.56 pada Selasa.

Selepas dibuka 6.27 mata lebih kukuh kepada 1,712.83, indeks tempatan itu bergerak antara paras 1,711.44 dan 1,727.25 sepanjang hari dagangan.

Seorang peniaga berkata sentimen pasaran positif dengan pelabur yakin pusingan terkini rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China akan menemui jalan penyelesaian bagi perang tarif mereka.

“Sentimen positif ini dicerminkan menerusi prestasi kukuh di Wall Street dan menular ke saham Asia, dengan MSCI, indeks saham Asia Pasifik terbesar di luar Jepun meningkat hampir satu peratus mencecah paras tertingginya sejak 2 Okt, 2018.

“Di Wall Street, indeks S&P 500 meningkat 4.16 mata kepada 2,779.76, Nasdaq Composite naik 14.36 mata kepada 7,486.77 dan Dow Jones Industrial Average menokok 8.07 mata kepada 25,891.32,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi tempatan, Maybank naik empat sen kepada RM9.52, Public Bank dan Tenaga meningkat enam sen setiap satu masing-masing kepada RM25.06 dan RM13.38, manakala Petronas Chemicals melonjak 26 sen kepada RM9.15.

Dalam kalangan kaunter cergas, Sapura Energy meningkat 1.5 sen kepada 32.5 sen, Hibiscus Petroleum naik tiga sen kepada RM1.08 dan Bumi Armada menokok satu sen kepada 22.5 sen.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 724 berbanding 252, manakala 346 kaunter kekal tidak berubah, 532 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.82 bilion unit bernilai RM3.26 bilion daripada 2.80 bilion unit bernilai RM2.36 bilion pada Selasa.

Indeks FBM Emas meningkat 170.21 mata kepada 12,040.78, Indeks FBMT 100 naik 166.37 mata kepada 11,897.51 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 197.45 mata kepada 12,041.45.

FBM 70 meningkat 330.74 mata kepada 14,486.38 dan Indeks FBM Ace naik 37.58 mata kepada 4,699.69.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 117.28 mata kepada 17,783.73, Indeks Perladangan naik 96.12 mata kepada 7,498.56 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 2.64 mata kepada 168.49.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 2.78 bilion saham bernilai RM3.03 bilion daripada 1.87 bilion saham bernilai RM2.18 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 741.67 juta saham bernilai RM162.26 juta daripada 609.05 juta saham bernilai RM120.56 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE turun kepada 295.17 juta saham bernilai RM68.74 juta daripada 317.97 juta saham bernilai RM55.18 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 316.42 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (309.21 juta), pembinaan (236.86 juta), teknologi (161.16 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (73.74 juta), hartanah (220.06 juta), perladangan (63.60 juta), REITs (16.38 juta), dana tertutup (24,800), tenaga (1.19 bilion), penjagaan kesihatan (41.44 juta), telekomunikasi dan media (67.56 juta), pengangkutan dan logistik (35.28 juta), dan utiliti (51.02 juta). – Bernama



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *