Bursa Malaysia ditutup rendah susulan tekanan jualan

Bursa Malaysia ditutup rendah susulan tekanan jualan

TEKANAN jualan membabitkan kaunter produk pengguna terpilih serta kebanyakan saham wajaran tinggi mendorong Bursa Malaysia ditutup pada paras rendah hari ini seiring dengan prestasi bursa serantau berikutan kebimbangan mengenai kejatuhan mendadak harga minyak mentah, kata peniaga.

Pada jam 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 31.39 mata kepada 1,381.73 daripada 1,413.12 sewaktu ditutup semalam.

Indeks petunjuk utama itu yang yang dibuka 5.89 mata lebih rendah pada 1,407.23 mata, turut meningkat sehingga 1.411.69 pada dagangan awal.

Sentimen pasaran secara keseluruhannya kekal kurang memberangsangkan dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 827 berbanding 198 manakala 253 kaunter tidak berubah, 634 tidak diniagakan dan 20 lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 6.53 bilion saham bernilai RM2.94 bilion daripada 5.99 bilion saham bernilai RM3.21 bilion semalam.

Seorang peniaga berkata, pasaran saham Asia lebih rendah pada hari ini kerana bimbangkan penyusutan ketara harga minyak mentah dengan tumpuan terhadap West Texas Intermediate selepas niaga hadapannya untuk Mei yang berakhir Selasa, menjunam ke paras paling rendah dan menyaksikan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) buat pertama kalinya mencecah paras negatif dalam sejarah berikutan stok simpanan yang tinggi.

“Niaga hadapan di New York mengalami turun naik selepas menjunam serendah -US$40.32 pada sesi sebelumnya. Kontrak bulan Jun berharga lebih AS$20 yang mencerminkan kebimbangan bahawa mereka yang menerima serahan fizikal minyak mentah dalam masa terdekat berkemungkinan tidak dapat menyimpan stok tersebut,” katanya.

Selain itu, krisis kepimpinan yang berlaku di Korea Utara apabila Kim Jong Un dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan kardiovascular minggu lepas, juga berpotensi memberi impak serius terhadap kestabilan serantau selain menjejaskan rundingan dengan AS membabitkan pertahanan nuklear di negara itu.

Dalam pada itu, di peringkat tempatan saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank turun 13 sen kepada RM7.56, TNB dan IHH Healthcare masing-masing rugi 10 sen kepada RM12.50 dan RM5.13 dan Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing susut 42 sen kepada RM15.74 dan RM5.30.

Bagi saham aktif, Lambo berkurangan setengah sen kepada 1.5 sen dan Velesto turun satu sen kepada 15 sen manakala NETX Holdings dan AirAsia X masing-masing tidak berubah pada satu sen dan 12.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas susut 225.38 mata pada 9,598.53, Indeks FBMT 100 turun 219.85 mata kepada 9,482.95, Indeks FBM Emas Shariah turun 238.02 mata pada 10,603.30, FBM ACE merosot 198.93 mata kepada 4,314.70 manakala FBM 70 kehilangan 281.60 mata kepada 11,363.48.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 270.79 mata kepada 12,454.04, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 4.77 mata kepada 116.05 dan Indeks Perladangan berkurangan 173.56 mata kepada 6,182.39.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 4.60 bilion saham bernilai RM2.69 bilion daripada 4.55 bilion saham bernilai RM2.93 bilion pada Isnin.

Waran meningkat kepada 454.49 juta unit bernilai RM97.31 juta berbanding 450.38 juta unit bernilai RM68.06 juta, semalam.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 1.47 bilion saham bernilai RM149.46 juta daripada 988.39 juta saham bernilai RM204.70 juta, sebelumnya.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 1.13 bilion saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (981.02 juta), pembinaan (300.40 juta), teknologi (290.96 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (71.42 juta), hartanah ( 301.55 juta), perladangan (80.48 juta), REIT (10.72 juta), dana tertutup (216.000), tenaga (1.11 bilion), penjagaan kesihatan (55.47 juta), telekomunikasi dan media (87.43 juta), pengangkutan dan logistik (151.08 juta) manakala utiliti (32.70 juta). – Bernama



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *