Bursa Malaysia ditutup rendah – Sinar Harian

Bursa Malaysia ditutup rendah – Sinar Harian

BURSA Malaysia ditutup pada paras terendah intra harinya pada Selasa berikutan keadaan berjaga-jaga dalam pasaran menjelang pengundian rang undang-undang siling hutang Amerika Syarikat (AS) yang dijangkakan seawal Rabu.

Kongres AS perlu menaikkan siling hutang menjelang 5 Jun atau negara itu akan mengalami kekurangan tunai untuk membayar obligasinya dan ketika ini keyakinan adalah tinggi persetujuan akan dapat dicapai.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 8.02 mata kepada 1,396.91 daripada paras penutup 1,404.93 pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 1.11 mata kepada 1,406.04 yang mana merupakan paras tertinggi intra harinya.

Keseluruhan pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 466 berbanding 358, manakala 431 kaunter tidak berubah, 1,009 tidak diniagakan dan 60 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 2.38 bilion unit bernilai RM2.01 bilion daripada 2.73 bilion unit bernilai RM1.87 bilion.

Seorang penganalisis berkata, saham perbankan yang pulih pada awalnya, gagal mengekalkan prestasinya. Sektor lain seperti penjagaan kesihatan, teknologi, perladangan dan produk dan perkhidmatan perindustrian juga rendah semasa musim keputusan korporat.

Selain itu, katanya, minat dalam bursa tempatan juga terjejas oleh penurunan firma perindustrian China dalam tempoh empat bulan pertama 2023, di tengah-tengah kekurangan pemangkin susulan penutupan Wall Street semalaman pada Isnin.

China adalah rakan dagangan terbesar Malaysia.

Menurut penganalisis itu, para pelabur juga menunggu data Keyakinan Pengguna Conference Board (CB) Amerika Syarikat (AS) bagi Mei yang akan dikeluarkan lewat hari ini.

Data Keyakinan Pengguna CB mengukur tahap keyakinan pengguna dalam aktiviti ekonomi.

Sementara itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, FBM KLCI ketika ini berada dalam situasi terlebih jual yang teruk, jadi beliau merasakan aktiviti membeli saham berharga rendah akan muncul dan menjangka indeks petunjuk pasaran itu akan melantun semula tidak lama lagi.

“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam jajaran 1,400-1,410 bagi tempoh berbaki minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Saham wajaran tinggi Maybank susut satu sen kepada RM8.59, Public Bank turun lima sen kepada RM3.84, Tenaga Nasional jatuh 13 sen kepada RM9.62 dan Petronas Chemicals berkurangan 12 sen kepada RM6.75.

CelcomDigi meningkat satu sen kepada RM4.57 dan CIMB tidak berubah pada RM4.89.

Dalam kalangan kaunter cergas, Dagang NeXchange naik 2.5 sen kepada 41.5 sen, YTL meningkat satu sen kepada 91 sen, Widad menokok setengah sen kepada 43.5 sen, Top Glove jatuh lima sen kepada RM1.11 dan Bahvest Resources meningkat dua sen kepada 22 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 45.94 mata kepada 10,279.11, Indeks FBMT 100 turun 48.71 mata kepada 9,982.90 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 55.66 mata kepada 10,654.41.

Indeks FBM 70 susut 30.73 mata kepada 13,550.89 manakala Indeks FBM ACE turun 3.99 mata kepada 4,967.09.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 27.98 mata kepada 15,269.30, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 2.01 mata kepada 162.52, Indeks Perladangan berkurangan 46.91 mata kepada 6,747.50 manakala Indeks tenaga naik 13.17 mata kepada 827.04.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.61 bilion unit bernilai RM1.79 bilion daripada 1.53 bilion unit bernilai RM1.45 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 291.34 juta unit bernilai RM35.75 juta daripada 274.34 juta unit bernilai RM35.30 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 475.20 juta saham bernilai RM179.17 juta daripada 921.19 juta saham bernilai RM388.47 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 301.46 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (275.67 juta); pembinaan (46.36 juta); teknologi (236.12 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (79.88 juta); hartanah (139.17 juta); perladangan (26.35 juta); REITs (7.26 juta), dana tertutup (213,500); tenaga (156.74 juta); penjagaan kesihatan (152.57 juta); telekomunikasi dan media (59.89 juta); pengangkutan dan logistik (21.19 juta); dan utiliti (111.77 juta). – Bernama

Sumber