Bursa Malaysia ditutup paras terendah intra hari

Bursa Malaysia ditutup paras terendah intra hari

BURSA Malaysia ditutup pada paras terendah intra hari pada hari dagangan terakhir Januari, mencerminkan prestasi negatif bursa serantau dan sentimen pasaran global yang lemah.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 13.89 mata atau 0.92 peratus kepada 1,485.50 daripada 1,499.39 ketika ditutup pada Isnin.

Ia dibuka 5.60 mata lebih rendah pada 1,493.79 dan bergerak antara 1,485.50 dan 1,493.89 sepanjang dagangan.

Keseluruhan pasaran adalah negatif, apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung, 632 berbanding 325, manakala 389 kaunter tidak berubah, 861 tidak diniagakan dan 45 yang lain digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 4.03 bilion unit bernilai RM2.78 bilion berbanding 4.56 bilion unit bernilai RM2.44 bilion pada Isnin.

Mengulas mengenai prestasi pasaran pada Selasa, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, FBM KLCI ditutup lebih rendah seiring dengan prestasi negatif bursa serantau.

“Indeks serantau utama ditutup rendah dengan jualan kukuh pada saham teknologi berikutan petunjuk negatif daripada Wall Street kerana pelabur berhati-hati menjelang pengeluaran data ekonomi utama Amerika Syarikat (AS) dan mesyuarat bank pusat utama,” katanya kepada Bernama.

Beliau menjelaskan bahawa pelabur menjangkakan Rizab Persekutuan AS akan menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada Rabu dan Bank Pusat Eropah sebanyak 50 mata asas pada Khamis.

“Bagi bursa tempatan, kami percaya jualan hari ini menawarkan peluang untuk tawar-menawar saham pada paras yang lebih rendah. Oleh itu, kami menjangka indeks penanda aras akan melakukan lantunan tidak lama lagi. Kami mengekalkan sasaran FBM KLCI kami untuk minggu ini di antara 1,490 dan 1,505,” katanya.

Indeks utama serantau semuanya menunjukkan penurunan, dengan Nikkei 225 Jepun susut 0.39 peratus kepada 27,327.11, manakala Hang Seng Hong Kong turun 1.03 peratus kepada 21,842.33, Indeks Strait Times Singapura merosot 0.43 peratus kepada 3,363.70 dan Kospi Korea Selatan merosot 1.04 peratus kepada 2,425.08.

Di dalam negara, kaunter rugi dalam saham wajaran tinggi didahului oleh Petronas Gas, susut 78 sen kepada RM16.82, Hong Leong Bank turun 68 sen kepada RM20.52, Digi merosot 11 sen kepada RM4.21, Petronas Dagangan susut RM1.08 kepada RM21.80 manakala Petronas Chemicals turun 10 sen kepada RM8.35.

Sementara itu, Maybank susut empat sen kepada RM8.74, Public Bank turun dua sen kepada RM4.24, CIMB susut tiga sen kepada RM5.75.

Bagi saham cergas, Vestland yang memulakan dagangan sulungnya hari ini di Pasaran ACE naik enam sen kepada 39 sen, manakala Borneo Oil, G3 Global, Zen Tech dan Sapura Energy masing-masing tidak berubah pada dua sen, tiga sen, 6.5 sen dan lima sen.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan ditutup esok sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 93.36 mata kepada 10,816.27, Indeks FBMT 100 turun 92.0 mata kepada 10,485.46 dan Indeks FBM Emas Shariah menjunam 113.43 mata kepada 11,076.20.

Indeks FBM 70 menguncup 94.10 mata kepada 13,686.0 dan Indeks FBM ACE berkurangan 47.05 mata kepada 5,711.46.

Dari segi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.37 mata kepada 189.93, Indeks Tenaga susut 6.04 mata kepada 887.25, Indeks Perladangan merosot 20.68 mata kepada 6,829.38, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 124.62 mata kepada 16,413.43.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 2.5 bilion saham bernilai RM2.31 bilion berbanding 3.08 bilion saham bernilai RM2.03 bilion semalam.

Sementara itu, jumlah dagangan waran susut kepada 299.42 juta unit bernilai RM50.9 juta daripada 349.42 juta unit bernilai RM58.05 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 1.24 bilion saham bernilai RM418.5 juta daripada 1.13 bilion saham bernilai RM347.61 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 470.97 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (634.37 juta); pembinaan (177.98 juta); teknologi (253.38 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (104.28 juta); hartanah (134.22 juta); perladangan (38.46 juta); REIT (15.15 juta), dana tertutup (9,000); tenaga (416.26 juta); penjagaan kesihatan (116.37 juta); telekomunikasi dan media (43.15 juta); pengangkutan dan logistik (66.83 juta); dan utiliti (25.48 juta). – Bernama

Sumber