Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini

Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini

KUALA LUMPUR – Dagangan Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi Isnin, pulih daripada kerugian yang dialami minggu lepas, mengambil petunjuk daripada prestasi kukuh Wall Street pada Jumaat meskipun kebimbangan mengenai inflasi masih menyelubungi Amerika Syarikat.

Pada jam 9.06 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.52 mata kepada 1,492.40 berbanding 1,488.88 pada penutup Jumaat.

Indeks utama dibuka 3.0 mata lebih tinggi pada 1,491.88.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi 141 berbalas 123 manakala 198 kaunter tidak berubah, 1,833 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah pada sebanyak 168.19 juta unit bernilai RM79.72 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, kebimbangan terhadap varian Omicron Covid-19 yang melembapkan pemulihan ekonomi nampak reda dan ini dijangka dapat memberi sokongan kepada pasaran saham dan komoditi.

“Pelabur akan menunggu mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan dimuktamadkan minggu ini untuk mendapatkan petunjuk lanjut mengenai dasar monetari pada masa hadapan,” katanya.

Bagi segmen komoditi, ia menyatakan harga minyak sawit mentah (MSM) berada melepasi paras RM4,800, manakala harga minyak mentah berlegar di atas paras AS$75 setong.

“Bagi sektor yang menjadi tumpuan pula, memandangkan kedua-dua MSM dan minyak mentah stabil sejak minggu lepas, peniaga diunjur memberi tumpuan kepada sektor minyak dan gas serta perladangan dalam tempoh terdekat.

“Sementara itu, sektor teknologi juga mungkin meningkat, didorong oleh prestasi positif dari Wall Street,” kata firma broker itu.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menokok lima sen kepada RM8.17, Petronas Chemicals dan CIMB Group masing-masing naik satu sen kepada RM8.43 dan RM5.19, IHH Healthcare meningkat sembilan sen kepada RM6.67 manakala Public Bank tidak berubah pada RM3.99.

Bagi saham aktif, Impiana Hotels naik setengah sen kepada 9.5 sen, Dataprep meningkat 10 sen kepada RM1.19, Sedania menokok 3.5 sen kepada 62.5 sen manakala Daya Materials dan Sapura Energy masing-masing tidak berubah pada satu sen dan lima sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 20.5 mata kepada 10,880.29, Indeks FBMT 100 meningkat 20.52 mata kepada 10,852.09 dan Indeks FBM Emas Syariah lebih tinggi sebanyak 15.73 mata kepada 11,729.98.

Indeks FBM 70 meraih 9.48 mata kepada 14,055.51 manakala FBM ACE susut 19.11 mata kepada 6,209.21.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.01 mata kepada 193.31, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 34.99 mata kepada 15,144.32, manakala Indeks Perladangan mengukuh 27.46 mata kepada 6,493.95. – Bernama

Sumber