Bursa Malaysia dibuka rendah susulan kemelut politik

Bursa Malaysia dibuka rendah susulan kemelut politik

SAHAM-saham di Bursa Malaysia meneruskan penyusutan sewaktu dagangan dibuka hari ini di tengah-tengah pengaturan semula dalam kalangan parti politik susulan kejatuhan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.46 mata kepada 1,482.60 susulan aktiviti penjualan panik yang menyaksikan indeks itu ditutup susut 2.68 peratus atau 41.14 mata kepada 1490.06.

Kaunter rugi mengatasi untung iaitu 418 berbanding 70 di pasaran meluas dengan 140 kaunter tidak berubah, 1,375 tidak didagangkan dan 21 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 179.77 juta saham bernilai RM110.76 juta.

Di sebalik pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Interim, ketiadaan keseluruhan Kabinet yang berfungsi, menurut seorang penganalisis, selain ‘nasib’ pakej rangsangan bagi menangani impak ekonomi koronavirus (Covid-19) hanya mencetuskan kebimbangan utama untuk kalangan pelabur.

“Pasaran telah mencecah paras terendah sejak 2011 dan perkembangan kebimbangan politik tempatan itu mungkin menyebabkan pelabur keluar dari bursa tempatan sehinggalah kemelut itu selesai,” katanya.

Sementara itu, MIDF dalam nota Ringkasan Ekonominya hari ini berkata dari sudut lain sebaliknya, Malaysia akan mempunyai kepimpinan baharu tidak lama lagi dan bukannya menerusi pilihan raya.

“Pada masa ini, tumpuan adalah untuk melindungi ekonomi daripada kesan Covid-19 dan perang perdagangan global. Kami menjangkakan kerajaan baharu akan memperkenalkan pakej rangsangan dalam lingkungan RM10 hingga 15 bilion.

“Setakat 2019 misalnya, hutang kerajaan Persekutuan kepada nisbah keluaran dalam negara kasar (KDNK) adalah 52.5 peratus. Oleh itu, jumlah maksimum yang boleh diketengahkan oleh pakej rangsangan tersebut adalah RM37.8 bilion iaitu dalam keadaan 55 peratus hutang kerajaan bagi nisbah kepada KDNK,” katanya.

Dalam pada itu, pelabur terus melepaskan pegangan saham wajaran tinggi yang menyaksikan kaunter berkaitan Petronas mencatat penyusutan.

Petronas Chemicals turun 11 sen kepada RM6.25, MISC jatuh 13 sen kepada RM7.29, Petronas Gas berkurangan 24 sen kepada RM16.26 dan Petronas Dagangan susut 30 sen kepada RM21.30.

Kaunter-kaunter berkaitan produk terus kekal sebagai saham paling terjejas dengan Nestle rugi 70 sen kepada RM141.70, F&N turun 50 sen kepada RM29.80 manakala Heineken merosot RM1.24 kepada RM27.12 dan Carlsberg rugi RM1.20 kepada RM33.76.

Selain itu, indeks pembinaan turun 1.09 peratus berikutan ketidakpastian membabitkan projek-projek yang disambung semula selain faktor kebimbangan mengenai Covid-19.

Di papan indeks, petunjuk seperti Indeks FBM Emas susut 68.69 mata kepada 10,577.40, Indeks FBMT 100 turun 65.14 mata kepada 10,373.23 manakala FBM Ace berkurangan 89.76 mata kepada 5,558.38.

Indeks FBM Emas Shariah susut 80.85 mata kepada 11,244.12 dan FBM 70 merosot 136.47 mata kepada 13,264.74.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.95 mata kepada 141.03, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 50.60 mata kepada 14,271.02 dan Indeks Perladangan berkurangan 60.17 mata kepada 6,855.37. – Bernama



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *