Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini

KENAIKAN tiga hari yang dicatatkan Bursa Malaysia berakhir untuk dibuka rendah pagi ini selepas kemunculan kegiatan pengambilan untung berikutan kemerosotan semalaman dialami Wall Street, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9.15 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengecil 2.56 mata kepada 1,463.24 daripada penutup Jumaat lalu pada paras 1,465.80.

Indeks penanda aras dibuka pagi ini 2.02 mata lebih rendah pada 1,463.78.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 255 berbalas 120, manakala 224 kaunter tidak berubah, 1,697 tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 204.87 juta unit bernilai RM85.73 juta.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata, pergerakan pasaran secara menyeluruh bagaimanapun dijangka kekal positif dalam tempoh terdekat memandangkan ia telah merosot dengan ketara sejak dua minggu lepas.

“Untuk minggu ini, pelabur akan memantau dengan teliti keputusan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat.

“Sementara itu, dari segi komoditi, minyak mentah stabil pada sekitar US$103 setong manakala minyak sawit mentah (MSM) diniagakan melebihi paras RM3,700 satu tan,” katanya.


Dalam pada itu, firma pembrokeran itu menambah, sektor teknologi diunjur menyaksikan beberapa konsolidasi berikutan kemerosotan prestasi semalaman Nasdaq selain kebimbangan mengenai kenaikan kadar faedah di AS minggu ini.

Malacca Securities turut menjangkakan pelabur akan memihak kepada saham perbankan dan pengguna menjelang musim pelaporan bulan Ogos.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa, Maybank susut dua sen kepada RM8.79, Public Bank turun satu sen menjadi RM4.56, CIMB Group lebih rendah sebanyak tiga sen kepada RM5.22, manakala Petronas Chemicals naik empat sen kepada RM8.64 dan IHH Healthcare menambah satu sen kepada RM6.49.

Bagi saham aktif, Top Glove meningkat 3.5 sen kepada RM1.03, Careplus Group dan Supermax Corporation masing-masing menambah dua sen kepada 44 sen dan 84 sen, manakala BSL Corporation turun setengah sen kepada sembilan sen dan Borneo Oil tidak berubah pada 2.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 24.61 mata menjadi 10,371.47, Indeks FBM Emas Syariah susut 25.19 mata menjadi 10,436.55 dan FBM 70 lebih rendah 50.87 mata pada 12,399.16.

Indeks FBMT 100 turut susut sebanyak 23.28 mata kepada 10,130.56 dan FBM ACE lemah 57.84 mata kepada 4,731.33.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan berkurangan 3.25 mata kepada 6,863.00, Indeks Tenaga turun 4.23 mata kepada 638.61, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.27 mata kepada 176.77, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 28.87 mata kepada 16,420.82. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber