Bursa Malaysia dibuka rendah, jejaki prestasi lemah Wall Street

Bursa Malaysia dibuka rendah, jejaki prestasi lemah Wall Street

BURSA Malaysia meneruskan trend menurun yang dicatatkan minggu lepas dan dibuka rendah pada pagi urus niaga Isnin, menjejaki prestasi lemah di Wall Street selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan data inflasi yang lebih tinggi, kata seorang peniaga.

Pada jam 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 14.78 mata kepada 1,479.17 daripada 1,493.95 penutupan urus niaga Jumaat.

Indeks utama penanda aras memulakan urus niaga pagi ini pada 1,483.76, turun sebanyak 10.19 mata lebih rendah kepada 1,483.76.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 496 berbalas 55, manakala 204 kaunter tidak berubah, 1,519 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 251.27 juta unit bernilai RM128.14 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Eekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, Wall Street jatuh mendadak berikutan lonjakan inflasi bulan Mei ke paras tertinggi 40 tahun pada 8.6 peratus dan ini telah mencetuskan kebimbangan akan berlakunya kenaikan kadar yang lebih sengit oleh Rizab Persekutuan.

Di pasaran dalam negara, beliau berkata FBM KLCI meneruskan aliran menurun semasa pembukaan di tengah-tengah prestasi lemah serantau.

“Walaupun lantunan dijangkakan, kami berpendapat pasaran masih dalam sentimen yang tidak menentu dan untuk itu, indeks dijangka berlegar dalam julat 1,480-1,500 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank lega 12 sen kepada RM8.63, Public Bank kerugian tujuh sen menjadi RM4.46, Petronas Chemicals turun enam sen kepada RM9.64 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.45.

Di pasaran aktif, Sapura Energy menambah setengah sen kepada lima sen, MLABS susut setengah sen kepada tiga sen, Dagang NeXchange lebih rendah sebanyak dua sen kepada 97.5 sen manakala G3 dan Ta Win, masing-masing kekal pada 4.5 sen dan tiga sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 116.41 mata menjadi 10,617.24, Indeks FBM Emas Syariah turun 104.07 mata menjadi 10.893.17, FBM 70 merosot 164.45 mata kepada 12,949.13, FBM ACE berkurangan 83.70 mata kepada 5,050.66 dan Indeks FBMT 100 lebih rendah sebanyak 109.71 mata kepada 10,319.64.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 185.36 mata kepada 16,234.77, Indeks Perladangan susut 50.78 mata menjadi 7,545.87 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.98 mata lebih rendah pada 191.35. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber