Bursa Malaysia buka tinggi selepas cuti umum panjang

Bursa Malaysia buka tinggi selepas cuti umum panjang

BURSA Malaysia memulakan urus niaga pagi Khamis lebih tinggi selepas cuti hujung minggu yang panjang sempena sambutan Aildilfitri, didorong oleh sentimen pasaran yang positif berikutan kenaikan kadar 50 mata asas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat seperti yang telah dijangkakan.

Kenaikan pada masa hadapan untuk memerangi inflasi juga dikatakan tidak begitu agresif.

Pada jam 9.06 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 9.67 mata kepada 1,610.10 daripada 1,600.43 penutup Jumaat minggu lepas.

Indeks dibuka 13.91 mata lebih tinggi pada 1,614.34.

Di pasaran yang lebih luas, terdapat 278 kaunter untung dan 123 kaunter rugi, manakala 257 kaunter tidak berubah, 1,580 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencatatkan sebanyak 201.45 juta bernilai RM112.16 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, Purata Perindustrian Dow Jones (DJI) meningkat 932 mata manakala Nasdaq melonjak sebanyak 401 mata.

“Bagi hari ini, kami menjangkakan FBM KLCI menyaksikan aktiviti belian berterusan tetapi mungkin terdapat beberapa rintangan pada sekitar julat 1,605-1,610,” katanya kepada Bernama.

Justeru, beliau berkata ,indeks diunjur berlegar antara julat 1,590-1,605 pada Khamis.

“Selain itu, minyak sawit mentah terus meningkat apabila ditutup pada kira-kira RM7,700 satu tan, manakala harga minyak mentah melonjak berikutan berita Eropah akan mengharamkan import minyak Rusia dengan minyak mentah Brent berada pada paras AS$110 setong,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa, Maybank naik dua sen kepada RM9.09, Public Bank menambah empat sen kepada RM4.73, Petronas Chemicals meningkat 56 sen kepada RM10.78, CIMB meraih enam sen pada RM5.26 manakala IHH Healthcare turun enam sen kepada RM6.55.

Bagi saham aktif, PUC Bhd dan Bina Puri Holdings masing-masing tidak berubah pada 7.5 sen dan lima sen, Hibiscus Petroleum meningkat empat sen kepada RM1.31, Dynaciate Group mengembang setengah sen kepada 14.5 sen sementara MN Holdings turun setengah sen kepada 24 sen.

Di papan indeks, FBM ACE naik 3.43 mata menjadi 5,582.10, FBM 70 meningkat 50.31 mata kepada 13,822.49, Indeks FBM Emas mengembang 63.43 mata kepada 11,529.52, Indeks FBMT 100 meraih 61.00 mata kepada 11,181.50 dan Indeks FBM Emas Syariah mengembang 65.29 mata menjadi 12,087.57.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 77.93 mata kepada 17,004.73, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian pula 3.74 mata lebih tinggi pada 213.77 dan Indeks Perladangan menokok 33.43 mata kepada 8,854.44. – Bernama

Sumber