Bursa Malaysia bercampur-campur pada tengah hari

Bursa Malaysia bercampur-campur pada tengah hari

BURSA Malaysia kekal bercampur-campur pada tengah hari ini tetapi terus berlegar di atas paras 1,600.

Pada rehat tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 9.67 mata kepada 1,601.51 dipacu terutamanya oleh kaunter pengeluar sarung tangan, Top Glove dan Hartalega.

Indeks itu dibuka tinggi naik 4.56 mata kepada 1,596.40 berbanding paras penutup 1,591.84 pada Jumaat dan melepasi paras 1,600 selepas 34 minit dagangan.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 549 berbanding 423, manakala 379 kaunter tidak berubah, 603 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah RM5.69 bilion saham bernilai RM3.25 bilion.

“Pelabur membeli teknologi selamat secara besar-besaran dan dalam masa yang sama mengurangkan risiko bagi perjalanan dan perkhidmatan.

“Peningkatan kes Covid-19 di Amerika Syarikat ketika musim pelaporan pendapatan AS menyaksikan pelabur menyimpan saham yang mereka rasakan akan mampu bertahan dengan pelaksanaan kawalan pergerakan,” kata Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes kepada Bernama.

Beliau berkata pasaran juga melihat kebimbangan menjelang mesyuarat jawatankuasa pemantauan menteri bersama Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada minggu ini.

Pelabur juga menunggu keputusan dasar monetari oleh Bank Pusat Eropah dan Bank of Japan, serta musim pelaporan pendapatan yang akan bermula minggu depan.

Mereka juga memantau data ekonomi yang termasuk bacaan ekonomi suku kedua China.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Top Glove meningkat RM1.98 kepada RM23.90, Hartalega naik 52 sen kepada RM17.58, PetChem menambah lapan sen kepada RM6.38 dam IHH menokok tiga sen kepada RM5.37.

Sementara itu, Maybank dan Maxis turun dua sen setiap satu masing-masing kepada RM7.88 dan RM5.30 manakala Public Bank susut enam sen kepada RM18.44.

Dalam kalangan kaunter paling cergas, PDZ Holdings meningkat 4.5 sen kepada 25 sen, Pegasus naik satu sen kepada 2.5 sen dan Vivocom meningkat setengah sen kepada 4.5 sen.

Di papan indeks, FBM Emas meningkat 84.01 kepada 11,290.82, Indeks FBMT 100 naik 86.51 mata kepada 11,147.89 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 163.55 mata kepada 12,975.50.

FBM 70 meningkat sebanyak 185.01 mata kepada 14,001.86 manakala FBM ACE turun 12.16 mata kepada 7,163.49.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 57.62 mata kepada 13,489.02, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.32 mata kepada 139.39 dan Indeks Perladangan turun 21.34 mata kepada 6,839.74.- Bernama



Sumber