‘Bunyi cicak’ tanda mengiakan percakapan orang hanya mitos karut

‘Bunyi cicak’ tanda mengiakan percakapan orang hanya mitos karut

KEPERCAYAAN khurafat dalam kehidupan manusia seakan sudah sebati dan sukar untuk dipisahkan. Sebenarnya, ‘penyakit’ itu bukan sahaja melanda dalam kalangan masyarakat Melayu, malah rata-rata agama dan bangsa di dunia.

Menyingkap mengenai perihal khurafat, ia mempunyai dua unsur utama iaitu musibah atau bala dan tuah atau nasib yang baik.

Sebagai contoh yang paling klise bagi orang Melayu iaitu sesiapa yang memotong kuku pada waktu malam, akan mewarisi kepapaan. Begitu juga kepercayaan ‘ibu duit’ yang dikenal pasti boleh melariskan perniagaan.

Jikalau diimbau sejarah zaman jahiliah, kepercayaan khurafat memang sudah tertanam dalam minda masyarakat Arab. Terlalu banyak ‘teori’ yang direka dan pastinya semuanya mengarut belaka. Peliknya, perkara-perkara seumpama itu masih ‘diwarisi’ oleh sesetengah masyarakat pada zaman moden kini.

Antara salah satu yang masih dipercayai orang Arab adalah mengenai bulan Safar yang dikatakan sebagai satu lambang nasib yang tidak baik. Anak perempuan yang dilahirkan pada bulan tersebut dikatakan membawa bahana dalam keluarga dan bermacam-macam lagilah anggapan yang songsang.

Sesungguhnya, kedatangan Islam di dunia Arab telah membawa seribu rahmat.

Islam dengan jelas mendidik dan membawa mereka melaksanakan apa sahaja berpandukan cahaya wahyu ILAHI, lantas menyisih segala kepercayaan khurafat yang tidak berasaskan panduan syariah.

Islam juga merupakan agama yang sangat menitik beratkan soal akidah yang mana segala perkara yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar atau ghaib tidak boleh direka cipta. Segalanya mestilah berpandukan al-Quran dan sunah.

Anggapan tidak munasabah

Dalam komentar kali ini, saya ingin mengulas tentang kepercayaan orang Melayu mengenai ‘bunyi cicak’ yang dikatakan mengiakan percakapan seseorang.

Saya berpendapat, ramai yang berdepan dengan situasi yang mana sedang kita bercakap dalam hati, tiba-tiba cicak mengeluarkan bunyi seolah-olah merestui apa yang diniatkan.

Lebih teruk lagi, tatkala kita sedang berdoa seusai solat. Bunyi-bunyian yang dikeluarkan haiwan itu sememangnya mengganggu tumpuan kita. Begitu juga jikalau seorang mak dan nenek sedang berleter memarahi anak-anak. Apabila cicak bersuara, mereka antara lain akan berkata: “Hah, betul apa aku cakap, cicak pun setuju.”

Sebenarnya, mitos tentang cicak tidak boleh dibuktikan dengan ilmu nyata seperti dalam kajian saintifik. Justeru, ia termasuk dalam kategori yang luar daripada logik manusia yang mana ia melibatkan perkara ghaib. Hal-hal seperti sedemikian tidak diketahui melainkan hanya ALLAH SWT.

Dalam al-Quran, ALLAH SWT berfirman: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki ALLAH. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh ALLAH) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman.” (Surah al-A’raf, ayat 188)

Ayat suci itu memberi kesimpulan bahawa segala benda sama ada memberi faedah atau kemudaratan bergantung sepenuhnya kepada kuasa ALLAH. Segala mitos ghaib yang wujud memerlukan pembuktian yang nyata berdasarkan wahyu ALLAH dan kalam Nabi Muhammad SAW yang sahih semata-mata. Sesungguhnya, tiada jalan lain lagi untuk membuktikannya.

Pun demikian, tidak dapat dinafikan wujud beberapa hadis yang sahih menceritakan perihal cicak. Namun, ia tiada kaitan sama sekali dengan mitos dalam alam Melayu tersebut.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sa’ad bin Abi Waqqas menyebut: “Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW memerintahkan supaya membunuh cicak dan disebutnya sebagai fuwaisiq (binatang kecil yang mendatangkan kerosakan).” (Riwayat Muslim)

Menurut hadis lain yang diriwayatkan oleh Ummu Syarik RA: “Sesungguhnya Rasullullah SAW memerintahkan supaya membunuh cicak. Baginda bersabda: “Sesungguhnya cicak itu meniup (menyemarakkan) api yang membakar Ibrahim AS.” (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan dua hadis berkenaan, umat Islam disunatkan membunuh cicak kerana reptilia itu mengganggu kehidupan manusia seperti membuang najis di dalam rumah atau masjid.

JIKA ada cicak bersarang di rumah manusia, maka kita digalakkan untuk membunuhnya kerana ia merupakan makhluk perosak.

JIKA ada cicak bersarang di rumah manusia, maka kita digalakkan untuk membunuhnya kerana ia merupakan makhluk perosak.

Selain itu, cicak juga boleh merosakkan makanan selain menyebabkan pembaziran dan pada masa sama, menakutkan anak-anak kecil di rumah tatkala melihatnya.

Bahkan, Rasulullah SAW sendiri menyifatkan sifat cicak itu sebagai makhluk perosak semenjak dahulu kala lagi yang mana binatang itu berusaha untuk menyemarakkan api yang dinyalakan oleh Raja Namrud untuk membunuh Nabi Ibrahim AS.

Maka jelas, cicak ialah haiwan yang tidak membawa kebaikan dalam kehidupan manusia malah kita digalakkan ‘menamatkan riwayat’ cicak yang bermaharajalela di rumah kita.

Sementelah, segala mitos tentang cicak yang diperkatakan oleh masyarakat Melayu turun-temurun tidak pernah wujud dalam mana-mana ayat suci al-Quran mahupun hadis-hadis yang sahih. Pendek kata, cicak hanyalah satu haiwan yang memancarkan energi negatif kepada kita.

***Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed merupakan pendakwah bebas dan penulis

Sumber