Buku lali sering terseliuh… apa perlu dilakukan?

Buku lali sering terseliuh… apa perlu dilakukan?

TERSELIUH buku lali merujuk kepada ligamen di sendi pergelangan kaki yang terkoyak atau tercedera.

Kecederaan am ini biasa berulang dengan kadar yang tinggi, akibat ‘mendarat’ di atas kaki plantarflexed dan terbalik.

Kejadian terseliuh buku lali melibatkan 85 peratus daripada keseluruhan kecederaan sendi pergelangan kaki dan 85 peratus daripada kecederaan ini melibatkan struktur ligamen sisi lateral.

Kecederaan ini merangkumi 25 peratus daripada semua kecederaan yang berkaitan dengan sukan. Risiko boleh meningkat jika individu mempunyai berat badan berlebihan dan kurang aktif secara fizikal.

Mereka yang jarang bersukan juga mempunyai risiko yang lebih tinggi. Ligamen sisi lateral lebih terlibat, diikuti ligamen sisi medial. Terseliuh buku lali selalunya dirawat secara konservatif (tanpa pembedahan).

Tanda-tanda dan Gejala

Pesakit mengadu kesakitan selepas sendi pergelangan kaki terpintal, selalu berlaku semasa bersukan.

Pesakit akan mengadu sakit di bahagian luar pergelangan kaki mereka serta tahap bengkak dan pendarahan di bawah kulit (lebam) yang berbeza.

Sama ada seseorang dapat pijak dengan kaki yang tercedera akan bergantung kepada keterukan kecederaan yang di alami.

Diagnosis

Terseliuh buku lali boleh didiagnosis dengan mudah kerana ia adalah kecederaan yang selalu berlaku. Buku lali di sisi luar yang sakit dan bengkak akan bertambah sakit apabila disentuh atau digerakkan itu boleh dikatakan sebagai ‘kecederaan buku lali’.

Bagaimana fisioterapi boleh membantu?

Merawat terseliuh buku lali dengan betul boleh mencegah daripada sakit kronik dan ketidakstabilan. Semua jenis terseliuh daripada ringan hingga teruk, memerlukan tiga fasa pemulihan:

Fasa I – rehat, mengurangkan bengkak dan melindung buku lali anda yang tercedera.

Fasa II – memulihkan fleksibiliti, julat pergerakan sendi dan kekuatan otot kaki.

Fasa III – beransur kembali ke aktiviti asal dan bersenam selalu.

Bagi Fasa akut, matlamat adalah bertujuan untuk mengurangkan bengkak dan kesakitan, melindungi daripada kecederaan lagi dan membantu berjalan mengikut kemampuan tahan sakit yang ada.

Ikut garis panduan P.R.I.C.E.:

Lindung (Protect) mengelakkan pergelangan kaki yang tercedera daripada melakukan aktiviti yang berat.

(Rest) Rehatkan kaki anda dengan tidak menanggung berat. Hadkan galas berat badan.

Ais (Ice) untuk mengawal atau mengurangkan bengkak. Untuk mengelakkan frost bite atau ice burn,jangan letakkan ais secara langsung pada kulit dan jangan letakkan ais lebih daripada 20 minit pada satu masa.

Compression – Balutan bandage boleh membantu mengawal bengkak serta mengurangkan pergerakan yang menyakitkan dan menyokong kecederaan anda.

Elevation – Baring dan rehatkan kaki anda pada paras yang lebih tinggi dari jantung anda. Kaki boleh diampu atas bantal.

Pencegahan

Cara terbaik untuk mengelakkan terseliuh buku lali adalah dengan mengekalkan kekuatan, keseimbangan dan fleksibiliti otot yang baik.

Amalkan pemanasan badan sebelum melakukan senaman dan aktiviti lasak

Beri perhatian kepada tempat/permukaan anda berjalan, berlari atau bekerja.

Pakai kasut yang baik

Beri perhatian kepada tanda-tanda amaran badan apabila anda merasa sakit atau keletihan.

Sumber: http://www.myhealth.gov.my



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *