BSN lahirkan 83 jutawan dalam 45 tahun

BSN lahirkan 83 jutawan dalam 45 tahun

[DIKEMAS KINI] BANK Simpanan Nasional (BSN) berjaya melahirkan seramai 83 jutawan menerusi BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP).

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, skim simpanan berkenaan terus mendapat sambutan positif daripada rakyat Malaysia sejak diperkenalkan 45 tahun lalu dengan jumlah simpanan direkodkan hampir RM5 bilion sehingga Disember 2022.

“BSN memperkenalkan pelbagai kategori cabutan dan hadiah menarik untuk tahun 2023, antaranya Cabutan Jutawan April yang merupakan cabutan istimewa untuk guru.

“Cabutan Jutawan Ogos pula dikhaskan untuk pekerja barisan hadapan dan Cabutan Jutawan November untuk pelanggan setia yang telah menyimpan sekurang-kurangnya 20 tahun.

“Bagi melayakkan pelanggan berpeluang untuk menang cabutan berkenaan, mereka perlu menambah simpanan minimum RM3,000 bagi tahun ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan, Cabutan Jutawan Bonanza pada bulan Disember ini menawarkan sebuah kereta BMW X5 berserta hadiah BSN SSP bernilai RM1 juta.

Selain itu katanya, BSN turut menawarkan pelbagai hadiah menarik untuk kategori cabutan lain termasuk Cabutan Bulanan, Cabutan Wilayah, Cabutan Penyimpan Muda, Cabutan Kesetiaan, Cabutan Penyimpan Baharu, Cabutan Guru, Cabutan Akaun Gaji, Cabutan Kasih dan Cabutan Simpanan Konsisten.

“Selain hadiah RM1 juta, BSN masih menawarkan hadiah seperti kereta BMW 320i M Sport, kereta Myvi dan pelbagai lagi hadiah lumayan lain.

“BSN SSP menawarkan kebaikan 3 dalam 1 (iaitu) menyimpan, menang hadiah dan peroleh kadar keuntungan simpanan menarik sehingga 2.40 peratus setahun melalui BSN SSP Platinum,” ujarnya.

Pelanggan sedia ada yang ingin menambah simpanan BSN SSP boleh berbuat demikian menerusi kaunter cawangan BSN, mesin taler automatik (ATM), mesin deposit tunai (CDM), perbankan internet myBSN, cawangan bank bergerak (CBB) atau menerusi saluran Ejen Bank BSN (EB BSN).

Bagi pelanggan baharu, simpanan BSN SSP boleh dibuat melalui kaunter cawangan BSN di seluruh negara dan untuk semakan senarai pemenang, sila layari laman sesawang www.bsn.com.my atau laman Facebook dan Instagram rasmi BSN.

Sementara itu seorang pesara berumur 62 tahun dari Melaka di umum sebagai pemenang cabutan BSN SSP bagi bulan Disember 2022 hasil simpanan pada 2021.

Sumber