BSA tingkat kerjasama dengan kerajaan banteras ‘ghost piracy’

BSA tingkat kerjasama dengan kerajaan banteras ‘ghost piracy’

SHAH ALAM – Business Software Alliance (BSA) pertingkat kerjasama dengan kerajaan bagi menangani kes-kes ‘ghost piracy’ iaitu mengakses perisian tanpa lesen di negara ini.

Pengarah Kanannya, Tarun Sawney berkata, sejak pandemik Covid-19 bermula, program penguatkuasaan yang menumpukan pada perlindungan hak harta intelek perisian telah berkurangan.

“Kami secara aktif bekerjasama dengan kerajaan di rantau ini untuk memastikan tahap pematuhan perisian yang lebih tinggi. Perisian tidak berlesen adalah tidak selamat dan juga tidak stabil malahan tidak boleh digunakan dalam perniagaan.

“Tiada pencipta yang boleh menghasilkan reka bentuk berkualiti menggunakan perisian yang menyalahi undang-undang. Dan apabila reka bentuk ini dibuat untuk jalan raya, jambatan, landasan kereta api dan infrastruktur maka syarikat juga mengambil risiko yang besar,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, firma kejuruteraan dan pembinaan adalah antara syarikat yang dilaporkan paling kerap melanggar undang-undang berkenaan mengakses perisian tanpa lesen.

Oleh itu, jelasnya, agensi kerajaan yang memperoleh perkhidmatan daripada firma tersebut untuk projek infrastruktur dan pembangunan negara perlu lebih berhati-hati.

“Kerajaan di Asia Tenggara mahu firma yang membina infrastruktur negara menggunakan perisian yang paling bersih, paling produktif dan paling selamat. Perisian tidak berlesen merupakan suatu risiko yang besar.

“Pihak kerajaan tidak boleh berkompromi dengan firma-firma yang menggunakan perisian haram untuk projek pembangunan negara. Mereka merupakan perniagaan besar yang memenangi kontrak lumayan. Jalan pintas menggunakan perisian yang digodam tidak boleh diterima atau dibenarkan,” jelasnya.

Jelasnya, BSA turut mendapati terdapat perniagaan menggunakan teknologi untuk membolehkan para pekerja mengakses perisian tanpa lesen secara jarak jauh dari pejabat semasa bekerja di rumah.

Katanya, tindakan mengakses perisian tanpa lesen secara jarak jauh itu berlaku dalam kalangan profesional reka bentuk, kreatif, animasi dan kejuruteraan di beberapa buah negara, antaranya Indonesia, Malaysia, Filipina dan Vietnam.

“Awal bulan ini, bahagian penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menjalankan serbuan yang menyasarkan aktiviti ghost piracy. Serbuan ini termasuklah terhadap sebuah firma hiasan dalaman dan sebuah syarikat mereka dan membina di Kedah.

“Serbuan turut dilakukan terhadap syarikat-syarikat dalam industri pembuatan, kejuruteraan jitu dan pembinaan. Perisian tanpa lesen dengan jumlah nilai sebanyak RM657,975 (AS$150,000) termasuk V-Ray, perisian berkeupayaan 3D untuk grafik komputer, telah ditemui dipasang semasa serbuan ini,” katanya.

Menurut beliau, Di Malaysia, Akta Hak Cipta 1987 telah menetapkan bahawa hanya perisian berlesen dan sah sahaja yang boleh digunakan dalam persekitaran perniagaan.

Jelasnya, pelanggaran undang-undang menyebabkan syarikat dan pihak pengurusannya boleh didenda antara RM2,000 dan RM20,000 untuk setiap salinan perisian yang menyalahi undang-undang.

“Selain itu, pemimpin perniagaan juga boleh dipenjarakan sehingga lima tahun,” ujarnya.

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber