BRICK beri kemudahan kepada pelanggan

BRICK beri kemudahan kepada pelanggan

BANK Rakyat meneruskan inisiatif transformasi digitalnya dengan melancarkan platform perbankan maya, ‘Bank Rakyat Quick’ atau BRICK sebagai saluran alternatif kepada pelanggan untuk mengakses produk perbankan runcitnya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, hanya dengan mengimbas QR Code menerusi telefon pintar mereka, pelanggan boleh mendapatkan maklumat berkaitan produk bank dengan cepat dan mudah serta boleh membuat permohonan pembiayaan secara dalam talian (online).

“Perkhidmatan itu disasarkan kepada pelanggan yang berhasrat melanggan produk pembiayaannya, termasuk pembiayaan Peribadi-i, pembiayaan Perumahan-i, pembiayaan Kenderaan-i, perkhidmatan takaful atau memohon menjadi ahli Kelab Nuri.

“Bank Rakyat mengambil langkah proaktif melalui pelancaran platform digital ini bagi membolehkan pelanggan mengakses maklumat dalam masa yang singkat, walaupun sibuk dengan urusan harian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Syed Abdul Aziz berkata, dengan hanya mengimbas kod BRICK, pelanggan boleh terus membuat permohonan pembiayaan yang bersesuaian serta mendapatkan maklumat berkaitan produk dan perkhidmatan yang disediakan.

“Berkonsepkan mesra pengguna, BRICK merupakan medium digital terkini bagi mendekati pelanggan di seluruh negara tanpa sempadan secara komprehensif, mudah dan cepat,” katanya.

Pada Mac lalu, Bank Rakyat melancarkan perkhidmatan perbankan digital yang dikenali sebagai Quick Response to Entrepreneur (QR2E) bagi memudahkan golongan usahawan mendapatkan khidmat nasihat dari aspek kewangan pengurusan perniagaan dan permohonan pembiayaan.

“Pelancaran BRICK ini melengkapkan kemudahan platform digital milik Bank Rakyat dalam usaha membantu mencapai matlamat negara keusahawanan sepenuhnya menjelang tahun 2030 selaras dengan aspirasi membentuk ‘Keluarga Malaysia’ dan ‘Bangsa Usahawan’ yang makmur,” katanya.



Sumber