Boleh dianjur dwibahasa, tempatkan dalam kelompok antarabangsa

Boleh dianjur dwibahasa, tempatkan dalam kelompok antarabangsa

PUTRAJAYA – Program World #QuranHour boleh dianjurkan secara dwibahasa sebagai usaha menempatkan penganjuran program dalam kelompok antarabangsa.

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, cadangan berkenaan memberi simbolik peranan sebagai sebuah ummah yang mengutamakan bahasa-bahasa lain.

“Cadangan saya pada tahun hadapan mungkin didwibahasakan agar kita boleh berada dalam kelompok antarabangsa, mungkin dalam bahasa Malaysia dan sesi juga diadakan dalam bahasa Inggeris atau Arab.

“Itu pada pandangan saya, ia menarik kerana akan menunjukkan al-Quran itu memang dapat difahami oleh umat-umat yang lain,” katanya.

Mohd Daud yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, masih terdapat banyak ruang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan pada program tersebut.

“Bagi saya kita memerlukan cadangan daripada rakyat untuk berikan idea yang baharu bagaimana nak jadikan satu jam (program) itu berimpak.

“Kalau boleh kita masuk ke peringkat antarabangsa. Jadi satu jam itu kita ada qari daripada Nigeria, Hong Kong, United Kingdom (UK) dan sebagainya yang menunjukkan kita ini sebuah ummah yang sama.

“Itu cadangan sayalah kalau boleh difikirkan untuk mengantarabangsakan program yang kita lahirkan ini,” ujarnya.

Barisan pentadabbur dan qari jemputan dalam program World #QuranHour yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Khamis. Foto: Sinar Harian/Rosli Talib

Barisan pentadabbur dan qari jemputan dalam program World #QuranHour yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Khamis. Foto: Sinar Harian/Rosli Talib

Dalam pada itu, beliau berkata, Surah Al-Mulk yang diketengahkan dalam program anjuran WUIF itu boleh dilihat sebagai satu surah solusi yang pernah memberi panduan kepada Nabi Muhammad SAW.

“Surah ini banyak memberikan ilham, inspirasi dan juga memberi cara fikir yang baharu kepada Nabi Muhammad SAW bahawa sabar dengan apa yang berlaku, pasti ada solusi daripada ALLAH SWT yang menguasai ekosistem, virus, teknologi, kuman dan sebagainya.

“Jadi kita kena imbas kembali bahawa kita buat macam mana pun, itu bukan cara yang terbaik. Cara yang terbaik adalah kembali kepada ALLAH SWT.

“Surah Al-Mulk adalah hiburan pada hati, solusi kepada idea dan juga satu tindakan baharu untuk difahami dan dihayati betul-betul dalam kita berhadapan dengan satu cabaran yang jarang didengar dan dilihat pada hari ini,” jelasnya.

Sumber