BNM pergiat interaksi tambah baik pendekatan urus risiko

BNM pergiat interaksi tambah baik pendekatan urus risiko

BANK Negara Malaysia (BNM) mempergiatkan interaksinya dengan institusi kewangan dalam usaha menambah baik pendekatan yang digunakan untuk mengukur risiko operasi serta membuat analisis berdasarkan senario serta ujian tekanan.

Menurut bank pusat itu, institusi kewangan juga dikehendaki supaya sentiasa mengemas kini dan menguji pelan tindak balas operasi mereka supaya pelan tersebut dapat mengenal pasti dan menangani jurang yang wujud dalam keupayaan pencegahan, tindak balas dan pemulihan.

“Selain itu, platform risikan ancaman siber sektor kewangan (FinTIP) dijangka beroperasi pada akhir suku ketiga tahun ini,” katanya dalam laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2019 yang dikeluarkan di sini hari ini.

Platform itu telah diwujudkan oleh BNM dengan kerjasama pihak industri yang bertujuan mengumpul, menggabungkan, menganalisis dan berkongsi maklumat ancaman siber yang diterima daripada pelbagai sumber boleh dipercayai.

Dalam industri insurans pula, bank pusat itu berkata, Sistem Perisikan Penipuan telah memudahkan usaha mengenal pasti dan menjalankan siasatan lebih cekap terhadap kemungkinan tuntutan motor palsu melalui analisis terhadap data dan pemarkahan.

“Usaha sedang dijalankan untuk meningkatkan ketepatan tanda amaran penipuan dan mengukur penjimatan kos yang terhasil daripada penggunaanya.

“Perkembangan ini melengkapi Rangkaian Dalam Talian Bersepadu Risiko Operasi BNM yang memudahkan pemantauan terhadap seluruh sistem kewangan dan pengesanan awal trend risiko operasi,” katanya.

Menurut BNM, satu latihan simulasi krisis industri yang dirancang untuk 2021 akan membuka peluang besar bagi menguji pengaturan semasa tindak balas kepada sesuatu krisis pada peringkat institusi dan seluruh sistem.

Langkah itu juga dijangkakan dapat memberi kefahaman mendalam mengenai usaha pembaikan berterusan terhadap kesediaan dan keupayaan sistem kewangan terhadap krisis.

Menurut BNM, kejadian risiko operasi dalam sistem kewangan juga telah meningkat berikutan bertambahnya penggunaan digital dan pergantungan yang lebih tinggi terhadap penyedia perkhidmatan pihak ketiga.

Bagaimanapun, bilangan dan jumlah kerugian akibat kejadian-kejadian tersebut kekal kecil bagi bank, penanggung insurans dan pengendali takaful berbanding dengan jumlah aktiviti pengantaraan.

BNM berkata, jumlah kerugian bank dan institusi kewangan pembangunan pada 2019 akibat risiko operasi mencakupi 0.7 peratus daripada jumlah keuntungan sebelum cukai, malah jauh lebih rendah berbanding kerugian risiko kredit sebanyak 3.1 peratus.

Hampir kesemua kerugian risiko operasi berpunca daripada daripada penipuan yang berkaitan dengan pembiayaan perdagangan melibatkan penggunaan semula bil muatan terpakai dan nombor rujukan invois bagi perdagangan palsu.

Dalam pada itu, BNM berkata, sistem pembayaran dan penyelesaian kekal stabil tanpa gangguan besar.

Pada 2019, sebanyak 5.1 juta urus niaga yang bernilai RM56.8 trilion telah diselesaikan menerusi Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS).

Jumlah itu bersamaan dengan 37.8 kali Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia serta mencerminkan pertumbuhan tahunan sebanyak 3.2 peratus dari segi jumlah dan 2.9 peratus dari segi nilai, kata BNM. – Bernama



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *