BNM lancar duit syiling peringatan ulang tahun LFSA ke-25

BNM lancar duit syiling peringatan ulang tahun LFSA ke-25

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) pada Rabu melancarkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) ke-25.

BNM dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, duit syiling peringatan itu yang dilancarkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan dikeluarkan dalam dua denominasi iaitu Duit Syiling Peringatan Perak Sterling Berwarna dengan Batu Nilam (pruf) dan Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (BU).

Untuk Duit Syiling Peringatan Perak Sterling Berwarna dengan Batu Nilam (pruf), ini adalah pertama kali BNM akan mengeluarkan duit syiling numismatik dengan sisipan batu nilam.

“Duit syiling ini mempunyai berat 31 gram dan diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5.

“Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual pada harga RM286 sekeping. Sejumlah 1,000 keping telah ditempa,” katanya.

Sementara itu, Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (BU), mempunyai berat 8.5 gram dan diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain.

“Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM13.20 sekeping. Sejumlah 10,000 keping telah ditempa,” kata bank pusat.

Bagi reka bentuk duit syiling – di bahagian depan, nama “LABUAN FINANCIAL SERVICES AUTHORITY” dipaparkan pada sekeliling bahagian kiri, manakala bahagian kanan duit syiling pula tertera “1996-2021” menandakan 25 tahun penubuhan LFSA.

Peta Labuan ditampilkan pada permukaan 3D potongan berlian dengan Ujana Kewangan Labuan, iaitu ibu pejabat LFSA yang disisipkan batu nilam pada duit syiling perak sterling itu.

Sementara itu, di bahagian belakang, nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik dipaparkan pada sekeliling bahagian atas duit syiling, disusuli dengan logo rasmi LFSA25 pada bahagian tengahnya.

BNM berkata, duit syiling peringatan ini tersedia untuk jualan dalam Set 2 dalam 1 dengan setiap set berharga RM341, termasuk 10 peratus Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Setiap set mengandungi sekeping duit syiling pruf perak sterling berwarna dengan batu nilam dan sekeping duit syiling emas Nordic pruf. Sejumlah 1,000 set tersedia untuk pembelian,” katanya.

Orang ramai boleh membuat tempahan melalui duit.bnm.gov.my sehingga Jumaat, 11 malam 25 Februari 2022. – Bernama

Sumber