BKR 2022 buka 500 gerai jualan

BKR 2022 buka 500 gerai jualan

BAZAR Kita Raya (BKR) 2022 menyediakan sebanyak 500 gerai jualan bagi memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk meniaga pada bulan Ramadan tahun ini.

Pengarah Urusan Arena Vision Management, Pawan Ishak berkata, karnival jualan yang diadakan buat julung kalinya itu akan bermula pada 23 April sehingga 1 Mei ini di Stadium Shah Alam, Selangor.

Ujar Pawan, BKR 2022 membuka ruang untuk usahawan muda, wanita dan khususnya golongan B40 bagi menjana sumber pendapatan selain memperkenalkan barangan perniagaan mereka daripada pelbagai industri kepada orang ramai.

“Setakat ini, kami dah ‘secure’ (kunci) 400 booth, jadi tinggal lagi 100 (booth yang boleh ditempah).

“Tetapi jumlah peniaga tidak semestinya capai dalam 400 orang peniaga, sebab ada beberapa peniaga yang mengambil ‘booth’ lebih daripada satu.

Pawan (dua dari kanan), bersama Ketua Pemasaran dan Jualan Arena Vision Management, Ika Salim (dua dari kiri); Ketua Teknikal Arena Vision Management; Adam Kamal Saraf (kiri), Komunikasi Korporat, Tengku Ismail Aziz Tengku Azizan Aziz (kanan) dalam sidang media di Hotel Acapella pada Rabu.

Pawan (dua dari kanan), bersama Ketua Pemasaran dan Jualan Arena Vision Management, Ika Salim (dua dari kiri); Ketua Teknikal Arena Vision Management; Adam Kamal Saraf (kiri), Komunikasi Korporat, Tengku Ismail Aziz Tengku Azizan Aziz (kanan) dalam sidang media di Hotel Acapella pada Rabu.

“Sekarang nampaknya majoriti usahawan (yang meniaga) adalah usahawan muda diletakkan di situ sebab kami nak ikut ‘branding’ (penjenamaan) kami iaitu untuk menolong usahawan-usahawan yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam sidang media di Hotel Acapella pada Rabu.

Mengulas lanjut, Pawan berkata, acara karnival yang beroperasi pada jam 5 petang sehingga 12 tengah malam itu menyediakan sebanyak lima zon yang dibahagikan mengikut kategori perniagaan.

Menurutnya, lima zon itu merangkumi zon produk umum; pakaian; kecantikan dan kesihatan; biskut dan kek serta makanan.

“Dari segi prosedur operasi standard (SOP) kami adalah mengikut apa yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Kerajaan telah memberi banyak kelonggaran bermula daripada 1 April ini, tetapi kami nak tekankan supaya pengunjung dan peniaga mengambil langkah-langkah sendiri untuk menjaga keselamatan sendiri.

“Cuma apa yang kami buat adalah setiap dua hari, semua peniaga perlu menjalankan ujian (melalui) kit ujian pantas antigen (RTK-Ag),” ujarnya.

Tambahnya, penganjuran karnival itu dijangkakan dapat mencapai seramai 500,000 pengunjung berikutan melihat aktiviti bazar Ramadan yang pernah dijalankan sebelum ini.

“Saya harap pengunjung akan dapat satu pengalaman membeli-belah yang meriah dan yang penting saya harap peniaga semua dapat menjana keuntungan yang lumayan supaya kami dapat meraih pendapatan mereka yang terjejas selama dua tahun akibat pandemik Covid-19 ini,” jelasnya.

Sumber