BISA hargai kerja keras usahawan tanah air

BISA hargai kerja keras usahawan tanah air

24 Februari 2023 08:50amMasa membaca: 4 minit

Rasta menerima Anugerah Fesyen Kreatif Batik Pilihan 2023 dari Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli.

Rasta menerima Anugerah Fesyen Kreatif Batik Pilihan 2023 dari Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli.

SHAH ALAM – Anugerah Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) yang julung kali dianjurkan oleh Sinar Harian dilihat sebagai satu platform dan inisiatif terbaik untuk menghargai kerja keras usahawan tanah air.

Pengasas dan pemilik jenama Rasta Creation Sdn Bhd, Rasta Rashid berkata, semua penggiat industri bekerja keras untuk memastikan mereka sentiasa dalam industri terutamanya sewaktu pasca pandemik Covid-19.

“Apabila hari ini (Jumaat) BISA memberikan anugerah kepada saya dan usahawan lain, saya pasti ini adalah satu kebanggaan dan penghargaan kepada diri kita sendiri.

“Semua pemain industri bergelut untuk memastikan mereka sentiasa kekal relevan dalam industri, dan pastinya untuk melaksanakan itu bukanlah satu perkara yang mudah.

“Ia memerlukan kecekalan dan kekentalan dalam diri. Untuk mencapai hasrat ini, ada tiga perkara yang saya selalu tekankan kepada anak-anak buah saya iaitu misi, visi dan objektif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Malam Penganugerahan BISA, di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau yang juga merupakan Presiden Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA) berkata, adalah menjadi tanggungjawab untuk dirinya mengangkat martabat industri batik ke persada antarabangsa.

“Saya perlu memainkan peranan untuk menaikkan martabat industri terutamanya fesyen dan batik.

“Di samping itu juga saya ingin memastikan pereka fesyen dan pembuat batik akan sentiasa dapat bergabung tenaga supaya kita saling membantu dalam membina ekosistem yang baik.

“Maksudnya pereka membuat rekaan, pembuat batik pula membuat batik. Kita sama-sama berkongsi rezeki, itu adalah matlamat saya,” ujar penerima Anugerah Fesyen Kreatif Batik Pilihan 2023 pada Malam Penganugerahan BISA yang berlangsung di DoubleTree by Hilton Shah Alam i-City itu.

Sumber