Bina keluarga, budayakan kemahiran keibubapaan

Bina keluarga, budayakan kemahiran keibubapaan

SHAH ALAM – Masyarakat digesa mewujudkan ekosistem ibu ayah yang baik dalam membina keluarga iaitu dalam erti kata pembudayaan bukan sekadar ilmu dan maklumat.

Demikian menurut Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid ketika mengulas pandangan beliau berhubung program penganjuran World #QuranConvention “Fatherless Home”.

Konvensyen anjuran Warisan Ummah Ikhlas dengan kerjasama Sinar Harian itu akan diadakan pada 18 dan 19 Disember ini secara hibrid bertujuan mengangkat martabat bapa sebagai ketua keluarga yang boleh membimbing keluarganya ke syurga.

Tambah beliau, dalam al-Quran banyak menyebut tentang peranan ibu bapa walaupun dalam hadis ada menyebut syurga di bawah tapak kaki ibu dan menggambarkan peranannya tetapi ia tidak menafikan peranan bapa.

“Masalah yang berlaku hari ini adalah kegagalan ibu bapa dalam memainkan peranan mereka untuk membimbing keluarga. Mereka kurang kemahiran keibubapaan dalam mendidik anak kerana tiada pembelajaran secara formal dalam institusi keluarga mahupun pendidikan.

“Kursus perkahwinan disediakan bagi bakal pengantin tetapi malangnya kursus tersebut seringkali menjadi sesi jenaka para penceramah dalam membawa topik poligami dan seks. Sedangkan peserta tiada diberikan pengisian yang jelas mengenai kemahiran mendidik anak dan mencari rezeki.

“Di Switzerland, semua pasangan yang belum mendapat anak diwajibkan mengikuti kursus pendidikan anak. Jika negara kita mahu menjayakan Keluarga Malaysia, perkara pembinaan keluarga perlu diambil serius. Ini melibatkan kerjasama para pendidik, pakar keibubapaan, badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin, dan masyarakat dengan berpandukan al-Quran dan Sunah.”

Mahmood Zuhdi berkata, dalam al-Quran, perkataan ayah banyak disebut dalam kisah nabi termasuk Nabi Yusof dan Nabi Ibrahim yang merujuk kepada peranan sebagai ketua keluarga.

Bagaimanapun tambahnya, kisah Luqman Hakim bukanlah digambarkan sebagai ayah, tetapi orang bijak pandai yang memberi pengajaran kepada orang lain.

“Kisah ayah dalam al-Quran dan Sunnah menunjukkan tanggungjawab menjaga anak.

Dalam kisah Nabi Ibrahim katanya, anak membetulkan akidah bapa yang menyimpang daripada jalan ALLAH.

“Kisah Nabi Isa pula dilahirkan tanpa ayah menunjukkan ibu juga mempunyai tanggungjawab mendidik anak dan membina keluarga.

“Sekiranya menjadi ibu atau bapa tunggal, mereka perlu mengambil semua tanggungjawab iaitu dialah ibu dan dia juga bapa. Kita tidak memisahkan tanggungjawab antara ibu dan bapa.

“Kedua-dua ibu bapa berkongsi membina kebahagiaan rumah tangga. Jika bapa daripada keluarga susah terpaksa mencari rezeki dari pagi hingga ke malam, maka ibu perlu mengambil peranan mendidik anak,” katanya.

Sementara itu, beliau menyarankan golongan agamawan supaya menggunakan pendekatan yang baharu dalam memberi tunjuk ajar kepada masyarakat.

Sistem pendidikan di negara ini katanya, memperkenalkan agama Islam sebagai kurikulum rasmi sejak zaman awal pendidikan.

Tambah beliau, pelbagai platform media seperti televisyen, radio, akhbar mahupun media sosial boleh digunakan untuk menyampaikan ilmu agama seiring dengan perkembangan semasa.

“Media memainkan peranan penting dalam menonjolkan isu agama dalam berbuat baik dan mencegah kemungkaran,” katanya.

Pihak media tegas beliau, perlu membangkitkan isu yang membawa kebaikan, bukannya memfokus isu kemungkaran sehingga menimbulkan selera anak remaja untuk meniru.

Menurut beliau, Majlis Dakwah Negara (MDN) memfokuskan pendekatan islah dan tajdid iaitu pembaikan dan pembaharuan dalam menangani isu agama.

“Saya ingin mencadangkan jabatan agama Islam, agensi dan seluruh masyarakat perlu diberi pendekatan baharu agar berlaku perubahan lebih cepat. Contohnya, produk arak Timah berlaku kerana ada pihak mengambil kesempatan atas perpecahan orang Melayu.

“Oleh itu, kita perlu ada golongan musleh yang menggalas tanggungjawab bersama atau fardu kifayah untuk membantu ummah. Dengan menjadi musleh mujadid, rezeki jaminan ALLAH tidak hilang,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai program World #QuranConvention 2021, sila layari Facebook Cerita Tentang Ayah.

Sumber