Bina karakter bangsa melalui al-Quran, solat dan infak

Bina karakter bangsa melalui al-Quran, solat dan infak

SHAH ALAM – Program My#QuranTime 2.0 (MQT2.0) terbitan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) memberikan tumpuan untuk membina karakter bangsa lebih baik berlandaskan tiga elemen utama iaitu al-Quran, solat dan infak.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, musim terbaharu program pemahaman al-Quran itu juga bakal menekankan satu pengisian baharu dalam pengajarannya iaitu hafalan.

“Jadi, di sini kita ingin tekankan bahawa apabila baca al-Quran tapi kita nak tabiat kita berubah. Maknanya, pertama hubungan kita dengan al-Quran bagaimana? Kedua, solat yang kita dirikan lebih bermakna atau tidak?

“Ketiga, bagaimana mahu pastikan budaya infak itu berada dalam diri kita,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini, program MQT yang berjaya mencipta fenomena ‘Baca, Faham, Amal Al-Quran’ bersiaran satu jam setiap hari bermula pada tahun 2020 telah diterbitkan dengan kerjasama TV AlHijrah.

Penyiaran musim pertama yang mencecah sebanyak 838 episod itu juga merekodkan sebanyak 85 juta tontonan di skrin dan penglibatan lebih 150,000 sahabah al-Quran di dalam dan luar negara.

Bagi musim kedua yang bakal bermula pada 14 Disember ini, ia akan melibatkan sebanyak 2,111 episod dan boleh ditonton di semua platform media sosial rasmi My #QuranTime serta Sinar Harian antaranya Facebook, Youtube, Twitter dan TikTok.

Marhaini

Marhaini

Marhaini berkata, langkah menyiarkan MQT2.0 di platform digital itu bertujuan antara lain menggalakkan penyertaan golongan muda untuk ikut serta mendalami isi kandungan al-Quran menerusi program berkenaan.

“Sebelum ini tidak begitu ramai anak muda, hanya sekitar 20 peratus. Yang lebih ramai adalah orang dewasa.

“Jadi, kita berharap nanti penonton dalam kalangan anak muda akan lebih ramai dan mereka ini juga akan menolong contohnya datuk dan nenek untuk menonton atau mengikutinya di platform digital,” ujarnya.

Dalam pada itu, Marhaini berkata, MQT2.0 juga meneruskan kesinambungan misinya untuk mencetuskan budaya infak dan wakaf dalam kalangan peserta melalui Tabung Gerakan Al-Quran.

Jelas beliau, setakat ini, lebih 6,000 Quran Corner berjaya diwujudkan melalui wakaf al-Quran yang dijalankan di pelbagai organisasi seperti hospital, agensi kerajaan, syarikat swasta, balai polis, kolej, universiti, sekolah, rumah ngaji, pusat tahfiz, masjid dan surau.

“Justeru, kehadiran Quran Corner di setiap tempat tersebut penting kerana ia dapat menjadi platform untuk mereka berkumpul bagi mengikuti kelas pengajian termasuk yang disiarkan melalui program MQT,” ujarnya.

Setakat 7 Oktober lalu, pelaksanaan wakaf di bawah WUIF yang melibatkan program Wakaf Al-Quran Fasa dan Tabung Gerakan Al-Quran berjaya mencatatkan sumbangan bernilai RM21,331,652 dengan sebanyak 371,480 naskhah berjaya dikumpulkan oleh pewakaf.

Sumbangan sebanyak RM5,000 daripada dana Tabung Gerakan Al-Quran turut diagihkan kepada Rumah Ngaji di seluruh negeri setiap bulan.

Ia bagi membantu penggerak menjalankan aktiviti untuk mendekatkan masyarakat kepada al-Quran melalui baca, faham dan amal.

Sumber